39 rumah usang dibaik pulih di bawah Program Melaka Rumahku

39 rumah usang dibaik pulih di bawah Program Melaka Rumahku

am@hmetro.com.my

Melaka: Sebanyak 39 unit rumah usang dan daif di seluruh negeri ini dibaik pulih setakat ini menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) yang dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Melaka (LPM).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, projek berkenaan membabitkan perbelanjaan kira-kira RM650,000 daripada peruntukan keseluruhan RM1 juta disalurkan kerajaan negeri tahun ini.

Beliau berkata, selain itu, sebanyak RM2 juta turut diperuntukkan bagi pembinaan rumah baharu di bawah program sama, dengan RM1.3 juta sudah dibelanjakan setakat ini.

“Inilah komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), kita turun padang menelusuri kampung bersama agensi berkaitan untuk mengenal pasti rumah penduduk yang perlu dibaik pulih,” katanya ketika merasmikan Program Baik Pulih Rumah PMR di rumah penduduk, Poniah Ahmad, 75, di Kampung Bahagia, Tanjung Keling, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

Dalam pada itu, Rais berkata, rumah Enah Bachik, 76, dari Solok Seberang Gajah 1, Bukit Rambai, turut dibaik pulih dengan kos keseluruhan pembaikan dua rumah itu, mencecah RM40,000.

“Rumah Puan Poniah ini adalah rumah ke-39 yang dibaik pulih. Kita tukar hampir 80 peratus bumbung serta struktur alang kayu yang reput dan tidak selamat kepada struktur besi.

“Asalnya peruntukan untuk satu rumah ialah RM15,000, namun bagi rumah ini, kita naikkan kepada lebih RM20,000 termasuk kerja membaiki bilik dan rangka kayu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top