Seoul: Seorang askar Korea Utara ditahan selepas secara sukarela menyeberangi sempadan darat yang memisahkan dua Korea, semalam.
Tentera Korea Selatan berkata, lelaki itu dipercayai berhasrat untuk membelot ke Korea Selatan.
Dalam kenyataan rasmi, Ketua Turus Bersama Korea Selatan memaklumkan, askar itu dikesan berhampiran Garisan Pemisah Ketenteraan (MDL) di bahagian tengah sempadan.
“Pihak tentera mengenal pasti individu itu berhampiran MDL, menjejaki dan memantau pergerakannya serta melaksanakan operasi panduan standard untuk menahannya,” menurut kenyataan itu.
Sempadan berkenaan terletak di kawasan bebas tentera (DMZ), kawasan yang dianggap antara paling banyak dipasang periuk api di dunia.
Menurut penganalisis Institut Penyatuan Nasional Korea, Hong Min, pengetahuan askar itu terhadap kawasan berkenaan mungkin membantunya menavigasi laluan berbahaya itu.
Katanya, pembelotan itu juga dijangka menimbulkan kemarahan Pyongyang kerana askar berkenaan berpotensi mendedahkan maklumat ketenteraan.
“Penyeberangan terbaharu ini tidak akan diterima baik oleh Pyongyang kerana dia berkemungkinan dapat memberikan maklumat kepada Korea Selatan mengenai pergerakan dan operasi tenteranya di kawasan sempadan,” tambah penganalisis itu.
Rakyat Korea Utara yang melarikan diri biasanya diserahkan kepada agensi perisikan Seoul untuk disaring.
Dalam pada itu, tentera Korea Selatan turut memaklumkan siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti butiran penyeberangan berkenaan.
Insiden itu berlaku beberapa bulan selepas seorang orang awam Korea Utara berjaya menyeberangi sempadan dengan bantuan tentera Korea Selatan.
Pada Ogos tahun lalu, seorang askar Korea Utara turut membelot ke Korea Selatan melalui laluan sama.
Menurut data Kementerian Penyatuan, sejak perang 1950-an, lebih 34,000 rakyat Korea Utara dilaporkan melarikan diri ke Korea Selatan.
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung sebelum ini berjanji untuk mengurangkan ketegangan dengan Pyongyang melalui pendekatan lebih diplomatik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




