H: Pengarah filem Syurga Dalam Botol tidak jangka kutipan lebih RM1 juta
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my
Gambar
Kuala Lumpur: Pengarah filem Syurga Dalam Botol, Ebi Kornelis meluahkan kegembiraannya selepas filem itu mencatat kutipan lebih RM1.2 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.
Ebi, 42, ketika dihubungi berkata, ia adalah satu pencapaian buatnya sebagai pengarah dan pada masa sama, membuktikan karya dari luar Lembah Klang khususnya Sabah, juga dapat menarik perhatian penonton.
“Sebenarnya, hari kesembilan filem ini sudah pun mencapai kutipan RM1 juta. Sebagai pengarah, sejujurnya saya tidak menjangkakan pencapaian ini.
“Kalau melihat kepada rekod filem-filem dari Sabah sebelum ini, untuk melepasi angkat RM200,000 pun agak sukar dan biasanya mengambil masa sekitar lima minggu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Ebi yang turut berlakon dalam filem itu, timbul keraguan dalam hatinya pada peringkat awal kerana ini adalah filem pertama arahannya.
“Saya menghasilkan filem ini tanpa menetapkan sasaran tertentu, hanya berdoa dan berharap sekiranya mampu melepasi RM500,000 seperti yang diberikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Itu pun saya sudah pun bersyukur.
“Beberapa hari sebelum tayangan, saya sangat gementar. Saya tertanya-tanya, adakah orang nak tengok? Rasa ragu-ragu itu hadir. Kebetulan pada waktu itu kami mengadakan tayangan bersama orang awam dan kru produksi, bukan tayangan perdana.
“Saya tiba awal ke pawagam dan terkejut apabila melihat orang ramai sudah beratur panjang dari kaunter tiket hingga ke tangga,” katanya.
Walaupun bajet terhad, Ebi dan pasukannya menggunakan dana First Time Amateur Filmmaker (FAME) yang diberikan FINAS dengan sebaik mungkin.
“Ramai tidak percaya bahawa filem ini dibuat dengan bajet RM500,000. Segala aspek termasuk lagu-lagu disusun dengan teliti di samping ‘color grading’ dan sebagainya,” katanya.
Katanya, dia mengakui karya ini tidak sempurna dan masih banyak yang boleh diperbaiki terutama dari segi teknikal.
“Namun, saya percaya 80 peratus daripadanya berjaya disampaikan dengan baik, dan saya banyak belajar daripada pengalaman ini.
“Saya harap anda yang belum menonton, datanglah ke pawagam sementara Syurga Dalam Botol masih lagi ditayangkan dan berikan sokongan kepada filem tempatan,” katanya.
Filem Syurga Dalam Botol mengisahkan anak-anak yang tidak memiliki kewarganegaraan, namun memiliki harapan tinggi dalam hidup.
Selain Ebi, filem ini turut dibintangi Kenneth Torrecampo Oliver, Dg Hasnah, Sharizan Tahir, Quzhairil Lona Walawd, Selhan Ramon dan Abdul Kams Sainali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




