Sungai Ketil lepasi paras bahaya, bomba pantau lokasi risiko banjir

Sungai Ketil lepasi paras bahaya, bomba pantau lokasi risiko banjir

am@hmetro.com.my

Baling: Hujan lebat sejak semalam menyaksikan Sungai Ketil di Kampung Bongor, di sini melepasi tahap bahaya setakat 4.15 petang tadi, manakala empat lagi sungai utama di tahap waspada.

Info Public Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah merekodkan empat sungai berkenaan adalah Sungai Sungai Sedim di Kampung Sedim; Sungai Chepir di Sik; Sungai Pendang di Pekan Pendang dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di Kota Setar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, anggotanya melakukan pemantauan setiap hari di lokasi berisiko banjir di daerah ini, yang mendapati paras air meningkat di Kampung Sungai Batu Baling, Kampung Sungai Limau dan Kampung Charok Syikin.

“Selain itu, anggota kami turut melakukan pemantauan di sungai Lubuk Pedati yang mendapati paras air meningkat dan dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya hari ini.

Beliau menasihati orang ramai yang tinggal di kawasan berhampiran sungai dan lokasi rendah agar melakukan persiapan dan berpindah sekiranya keadaan berbahaya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top