Manchester: Manchester City bakal beraksi tanpa tonggak tengah, Rodri, bagi dua perlawanan penting menentang Villarreal dan Aston Villa minggu ini apabila pemain Sepanyol itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring.
Pengurus City, Pep Guardiola mengesahkan Rodri, 29, yang sebelum ini terlepas sebahagian besar musim lalu akibat kecederaan lutut serius, masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ketika menang 1-0 ke atas Brentford pada 5 Oktober lalu.
Pemain itu turut tidak diturunkan ketika kemenangan 2-0 City ke atas Everton, Sabtu lalu, selain menarik diri daripada skuad kebangsaan Sepanyol untuk aksi kelayakan Piala Dunia.
“Saya tidak fikir dia sempat untuk aksi menentang Villarreal atau Aston Villa. Ia bukan kecederaan serius, tetapi membabitkan otot dan kami perlu berhati-hati.
“Kami sudah cuba banyak cara untuk tidak mengambil risiko, tetapi gagal mengawalnya. Jadi kita akan lihat keadaannya dalam masa terdekat,” kata Guardiola kepada media Britain.
City bakal berkunjung ke bekas kelab Rodri, Villarreal, dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu sebelum menentang Villa dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.
Skuad kendalian Guardiola kini menghuni tangga kedua liga dengan 16 mata selepas lapan perlawanan, tiga mata di belakang pendahulu, Arsenal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




