Mercun meletup sebabkan 22 cedera: Polis tahan dua lelaki

Mercun meletup sebabkan 22 cedera: Polis tahan dua lelaki

am@hmetro.com.my

Kulim: Dua lelaki ditahan hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden letupan mercun di Jalan Paya Besar di sini, tengah malam tadi yang menyebabkan 22 orang awam cedera.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan berkata, kedua-duanya ditahan secara berasingan di Taman Senangin dan Paya Besar.

Katanya, lelaki pertama berusia 34 tahun yang beralamat di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, manakala suspek kedua berusia 23 tahun bekerja sebagai pembantu kedai dan beralamat di Jalan Paya Besar, Lunas.

“Kedua-duanya adalah sahabat lama dan semakan mendapati mereka masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau, namun ujian air kencing negatif dadah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Zulkifli berkata, hasil siasatan menunjukkan kejadian berlaku ketika mereka melepak bersama beberapa rakan di kawasan berkenaan.

Katanya, suspek pertama yang dalam keadaan mabuk telah mengambil mercun jenis kelapa yang dijual di khemah berhampiran pada harga RM200, serta memasukkannya ke dalam silinder yang tersedia di tepi jalan.

“Suspek kedua kemudian membakar mercun itu tetapi ia tidak naik, sebaliknya meletup di bawah, disyaki akibat dipasang secara terbalik oleh suspek pertama.

“Akibat letupan itu, 22 orang yang berada di kawasan itu mengalami kecederaan termasuk seorang mangsa parah di kepala dan retak tengkorak.

“Mangsa dirujuk ke Hospital Pulau Pinang serta masih tidak sedarkan diri,” katanya.

Zulkifli berkata, setakat ini seramai 10 mangsa diambil keterangan untuk membantu siasatan, manakala penjual mercun sudah dikenal pasti.

Menurutnya, permohonan reman kedua-dua suspek akan dibuat esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top