am@hmetro.com.my
Alor Setar: Mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 1,283 mangsa daripada 407 keluarga yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kulim dan Kuala Muda setakat jam 12 tengah malam ini.
Jumlah itu meningkat berbanding 1,009 mangsa daripada 312 keluarga yang dilaporkan setakat jam 8 malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah dalam kenyataannya memaklumkan, daerah Kulim terus mencatatkan peningkatan mangsa seramai 1,231 orang daripada 383 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.
PPS terbabit adalah Surau Taman Sang Kancil seramai 96 mangsa daripada 28 keluarga; PPS Dewan Kampung Paya Tok Betok seramai 16 mangsa daripada tiga keluarga; PPS Sekolah Menengah Agama (SMA) Isaniah Jangkang seramai 425 mangsa daripada 120 keluarga.
Selain itu, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Museh pula menempatkan seramai 324 mangsa daripada 117 keluarga; SRJ (C) Khi Min pula menempatkan seramai 104 mangsa daripada 37 keluarga; PPS Dewan Orang Ramai Sungai Karangan seramai 63 mangsa daripada 20 keluarga dan PPS Surau Padang Meha pula menempatkan seramai 62 mangsa daripada 17 keluarga.
Sebuah lagi PPS dibuka di daerah Kulim iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Pulas iaitu seramai 141 mangsa daripada 41 keluarga.
Kesemua mereka yang dipindahkan di lapan PPS di daerah Kulim adalah dari Kampung Seberang Sungai, Kampung Paya Tok Betok, Kampung Seberang Jaya, Kampung Kemuting, Kampung Banggol Penyengat, Kampung Manggis, Kampung Baru, Kampung Sungai Karangan dan Kampung Kuala Benut.
Dalam pada itu, PPS di SJK (C) Chong Cheng di daerah Kuala Muda pula menempatkan 52 mangsa daripada 24 keluarga di Kampung Huma, Tanjung Dawai akibat kejadian air pasang dan ombak besar yang berlaku pada 22 Oktober lalu.
Dalam pada itu, lima daerah di negeri ini turut terjejas akibat banjir namun tiada PPS dibuka di daerah itu setakat ini.
Antara daerah terbabit adalah Sik, Pendang, Bandar Baharu, Baling dan Kubang Pasu.
Berdasarkan laman web Info Public Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, empat sungai di negeri ini sudah melepasi tahap bahaya iaitu di daerah Pokok Sena, Sik, Pendang dan Baling setakat jam 11.30 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




