lizamridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: PROTON, menerusi anak syarikat mobiliti elektriknya PRO-NET, melancarkan Proton e.MAS 5, model EV kompak kedua di bawah jenama e.MAS yang disasarkan untuk mempercepat penggunaan mobiliti elektrik dalam pasaran Malaysia.
Ia ditawarkan pada harga RM59,800 bagi varian Prime dan RM72,800 bagi Premium, atau masing-masing pada RM56,800 dan RM69,800 selepas rebat pelancaran sehingga 31 Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, pelancaran ini adalah langkah strategik penting bagi membuka akses pemilikan EV kepada segmen lebih luas termasuk pembeli pertama dan keluarga bandar.
“Menerusi e.MAS 5, kami mahu memastikan mobiliti elektrik bukan lagi pilihan eksklusif, tetapi realiti mampu milik untuk semua rakyat Malaysia.
“Ini bukti kesungguhan kami menyokong hala tuju negara ke arah mobiliti rendah karbon,” katanya pada majlis pelancaran di sini, hari ini.
Pembangunan model ini merangkumi lebih 752,000 jam modifikasi dan penalaan, termasuk peningkatan suspensi serta kestabilan untuk kondisi jalan tempatan.
Unit awal akan diimport sepenuhnya (CBU) sebelum fasa pemasangan tempatan (CKD) dimulakan di Tanjung Malim hujung tahun ini bagi memperkukuh ekosistem EV domestik.
Dari aspek reka bentuk dan utiliti, e.MAS 5 menawarkan ruang kabin praktikal, sesuai untuk kegunaan harian bandar dan keluarga.
Varian Premium hadir dengan ciri tambahan termasuk lampu LED penuh, rim 16 inci dan dalaman dua tona, manakala antara kelengkapan standard termasuk skrin infotainmen 14.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem Atlas Auto, serta pembantu suara “Aisyah”.
Aplikasi Proton e.MAS turut membolehkan pemilik memantau bateri dan menyejukkan kabin dari jauh.
Model ini dikuasakan motor belakang, dengan varian Prime menghasilkan 79 hp dan 130 Nm bersama bateri 30.12 kWh LFP untuk jarak 225 km (WLTP).
Varian Premium menawarkan 116 hp dan 150 Nm dengan bateri 40.16 kWh LFP bagi jarak 325 km (WLTP).
Kedua-duanya menyokong pengecasan AC 6.6 kW, manakala pengecasan pantas DC pada 53 kW (Prime) dan 71 kW (Premium) mampu mengecas 30 peratus hingga 80 peratus dalam kira-kira 21 minit.
Keselamatan turut diberi penekanan dengan enam beg udara dan rangka keselamatan diperkukuh, manakala varian Premium dilengkapi Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif, pemantauan titik buta dan kamera 360 darjah.
Pelanggan menikmati waranti bateri lapan tahun atau 160,000 km dan waranti kenderaan enam tahun tanpa had perbatuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




