razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Hanya tinggal satu kerusi yang belum diputuskan antara Pakatan Harapan(PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketua Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan membabitkan pemimpin PH, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ketua Menteri Sabah dan wakil GRS semalam.
“Semalam Pengerusi PH ( Datuk Seri Anwar Ibrahim) saya, dan juga Nurul Izzah Anwar (sebagai) Timbalan Presiden PKR sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) dan Datuk Seri Masidi Manjun mewakili GRS.
“Tujuan perjumpaan adalah memuktamadkan proses perbincangan kerusi, dan saya boleh sebut bahawa di antara kedua-dua pihak ini sudah pun selesai. Kecuali satu.
“Ya, yang ada sikit lagi kami kena ‘iron out’,” katanya pada sidang media sempena majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) projek rintis badan pendamai antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Pada 9 Oktober lalu, Hajiji mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus memberi laluan kepada PRN17 Sabah diadakan dalam tempoh 60 hari.
Ia dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. PRN kali ini akan menyaksikan perebutan 73 kerusi DUN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, dengan tarikh penamaan calon pada 15 November dan tarikh pengundian awal pada 25 November.
© New Straits Times Press (M) Bhd




