am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Johor dan LRA Tai Hong yang terjejas akibat pencemaran Sungai Johor masih belum beroperasi, setakat 7.30 malam tadi, menyebabkan gangguan kepada lebih 200,000 pemilik akaun.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, LRA Sungai Johor yang mempunyai bacaan NTU 1,240 (10 malam) masih tercemar dan dalam pemantauan.
“LRA ini membabitkan 153,395 akaun termasuk di Kota Tinggi, Pontian dan Johor Bahru, manakala LRA Tai Hong yang turut tergendala, menjejaskan 49,953 akaun,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad Fazli bagaimanapun berkata, dua LRA sudah pulih iaitu LRA Linggiu yang sudah beroperasi sepenuhnya, manakala LRA Semangar secara berperingkat bermula 2.30 petang.
Katanya, setakat ini bekalan air pulih membabitkan 213,683 akaun, manakala 100,142 akaun lagi di Kota Tinggi dan Kulai akan menerima bekalan dalam tempoh lapan hingga 12 jam.
“Ranhill SAJ sedang melaksanakan usaha pemulihan yang berterusan bagi memastikan bekalan air dapat distabilkan dalam masa terdekat, selain menempatkan lori tangki air di beberapa kawasan Johor Bahru dan Kulai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




