am@hmetro.com.my
Kuantan: Kimia dan petrokimia antara sub-sektor industri yang diberi fokus oleh kerajaan dalam pembangunan perindustrian di Pahang.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus kerajaan terhadap industri itu adalah jelas melalui pelbagai pelan induk dan inisiatif yang telah dan akan dilancarkan.
“Bagi sub-sektor kimia dan petrokimia contohnya, Pelan Induk Industri Kimia 2030 (CIR2030) meletakkan aspirasi untuk memacu pembangunan sektor kimia dan produk kimia ke arah ekosistem industri yang berdaya saing, berteknologi tinggi dan mampan.
“Dari segi perdagangan, sektor kimia dan produk kimia merupakan salah satu daripada lima produk utama dengan jumlah nilai perdagangan tertinggi dalam Sektor Barangan Pembuatan, mewakili 12.15 peratus daripada jumlah perdagangan negara sehingga Jun 2025,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan yang dibacakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri Kuantan di ADTEC Jabatan Tenaga Manusia Kampus Kuantan, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi.
Sementara itu, mengenai cabaran infrastruktur yang dihadapi di Kawasan Perindustrian Gebeng, khususnya isu bekalan air, Anwar berkata, kerajaan maklum perkara itu dan melaksana penyelesaian jangka panjang termasuk rancangan membina loji rawatan air masin di Pantai Gebeng dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Projek ini mula dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan akan diteruskan di bawah RMK-13 melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk memastikan persekitaran perniagaan di Gebeng kekal kompetitif tanpa gangguan logistik dan utiliti asas.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Gebeng Industrial Support Group (GISG) yang turut dianggotai oleh pekerja, atas peranan aktifnya sebagai perantara yang penting antara komuniti industri Gebeng dengan agensi kerajaan.
“Kerjasama erat antara kerajaan dengan pihak industri, syarikat dan pekerja inilah yang memastikan isu-isu setempat terutama yang berkaitan dengan infrastruktur, utiliti dan operasi logistik dapat ditangani segera, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang produktif dan harmoni,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




