am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Polis menerima aduan penduduk yang gusar dengan bunyi dentuman kuat di sekitar Bandar Sungai Petani, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, penduduk tidak perlu bimbang kerana bunyi itu disahkan daripada latihan ketenteraan oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpengkalan di daerah ini.
Katanya, bunyi yang kedengaran antara 10 pagi hingga 12 tengah hari, dijangka berulang lagi pada esok bagi siri latihan kedua.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak gusar dan bimbang dengan situasi bunyi kuat itu. Latihan dijalankan (dalam keadaan) terkawal oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga menasihati orang ramai agar tidak menyebar sebarang spekulasi yang tidak sahih di media sosial bagi mengelak kekeliruan dan kegusaran awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




