syafil.syazwan@hmetro.com.my
Keyakinan Aliff Aziz, 34, terhadap rezeki Allah menjadi kekuatan utama untuk terus melangkah serta mencari ketenangan dalam hidup termasuk kerjaya.
Berulang kali menyebut mengenai rezeki milik Allah tatkala ditemu bual selepas sekian lama menyepi.
Sekali gus menunjukkan betapa kuatnya keyakinan penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura ini untuk bangkit semula selepas namanya terpalit kontroversi panas pada Mac tahun lalu.
Berkesempatan bertemu Aliff atau nama sebenarnya Mohammad Aliff Aziz di sidang media Havoc Trio Festival 2025, Aliff berkongsi perihal kehidupan selepas ‘senyap’ sejak tahun lalu.
Menurut Aliff yang menetap di Singapura bersama kedua-dua ibu bapanya, dia kerap berulang-alik antara Kota Singa dan Kuala Lumpur memandangkan adiknya yang juga penyanyi, Aisyah Aziz kini menetap di sini.
“Kadang-kadang saya datang untuk temankan dia ataupun keluar luangkan masa dengan Aisyah. Kadang-kadang ibu bapa saya juga datang.
“Alhamdulillah, setakat ini masih ada tawaran untuk nyanyian seperti di acara korporat, majlis perkahwinan dan sebagainya. Saya bersyukur,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh sejak kontroversi melanda dirinya, dia banyak bermuhasabah diri dan menguatkan semangat untuk melangkah ke depan.
“Saya banyak meluangkan masa dengan keluarga, banyak refleksi diri dan sebagainya. Jadi, untuk saya, sekarang adalah masa untuk saya terus bergerak ke depan.
“Kita dah nak masuk 2026, Insya-Allah tak lama lagi dan saya rasa saya fokuskan kepada apa yang saya perlu lakukan untuk terus melangkah.
“Insya-Allah, saya dah ada perancangan apa yang ingin saya lakukan pada tahun depan. Jadi, itu adalah fokus saya yang utama. Saya tak toleh ke belakang lagi.
“Saya tak rasa ia (memandang ke belakang) adalah sesuatu yang sihat atau perlu untuk saya lakukan kerana apa yang sudah berlaku, maksud saya, tak perlu lagi saya ingat semula.
“Semua orang dah bersiap sedia untuk memulakan tahun baharu dan sebagainya. Ramadan pun dah tak lama lagi, Insya-Allah,” katanya.
Ditanya mengenai impak kontroversi yang berlaku ke atas kerjayanya sebagai anak seni, Aliff tidak menolak kenyataan itu.
“Saya rasa, secara logiknya boleh saya katakan, dalam industri kerja kita ini, tentunya setiap perkara yang berlaku sama ada baik mahupun tidak baik akan memberi sedikit sebanyak kesan dan saya lalui situasi ini daripada tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun, setiap yang berlaku hadir bersama pengajaran buatnya.
“Jadi, seperti yang saya katakan, perkara itu membuatkan saya lebih yakin sekiranya ada rezeki untuk saya, Allah akan tunjukkan jalan.
“Perkara yang mungkin tak berpihak kepada saya, mungkin ia bukan milik saya. Jadi, daripada terlalu banyak berfikir, lebih baik saya fokus kepada bagaimana untuk memperbaiki diri.
“Saya nak mula ‘work out’ semula dan mulakan gaya hidup sihat balik. Saya nak jadi lebih sihat dari segi mental, emosi dan fizikal seperti orang lain yang nak memperbaiki diri.
“Selebihnya, soal rezeki itu saya serahkan kepada Allah SWT,” katanya.
Menjawab pertanyaan sama ada dia bakal kembali beraksi di TV, Aliff menyerahkan semuanya kepada ketentuan Allah.
“Semua itu adalah ketentuan-Nya. Kalau Allah izinkan saya berkarya semula di TV, Insya-Allah. Kalau tak, mungkin rezeki saya di tempat lain.
“Jadi, apa pun kita kena pegang dan percaya bahawa rezeki itu ada di mana-mana,” katanya.
Saat diminta mengulas mengenai hubungannya dengan dua cahaya mata, Ayden Adrean dan Ara Adreanna hasil perkahwinan dengan bekas isteri, Bella Astillah, Aliff memilih untuk tidak mengulas lanjut.
“Mengenai anak-anak adalah soalan yang agak sensitif kerana apa, kadangkala ada jawapan yang orang boleh salah tafsir, apatah lagi kalau kita tersalah cakap.
“Apa juga pendapat yang anda semua ada, saya terima. Maksud saya, sebagai manusia biasa, sekarang masanya untuk saya terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Tidak aktif di media sosial juga nampaknya menimbulkan pelbagai spekulasi terhadap Aliff. Namun, dia tidak menafikan, ‘tabiat buruk’ itu akan dikikis perlahan-lahan.
“Jarang memuat naik hantaran di media sosial juga satu ‘tabiat buruk’ saya juga sebenarnya. Dulu memang kerap juga saya muat naik hantaran terutama ketika baru-baru ada Instagram dulu.
“Jadi, saya selalu berpesan kepada diri saya supaya kerap memuat naik hantaran di media sosial. Ada juga ketikanya saya rakamkan apa-apa yang saya buat, saya ke mana dan sebagainya.
“Tapi, saya tak muat naik sebab ditunda. Insya-Allah dalam masa terdekat ini, saya akan muat naik aktiviti harian saya.
“Bagaimanapun, seperti yang saya jelaskan, perkara berkaitan peribadi yang saya tak rasa nak kongsikan, saya akan simpan untuk diri sendiri,” katanya.
Tegasnya lagi, dia tidak akan mampu menutup spekulasi yang berkeliaran di media sosial kerana itu adalah sesuatu yang mustahil.
“Mengenai spekulasi orang ramai, kalau kita muat naik banyak hantaran pun, kadang-kadang orang kata kita nak menunjuk. Kalau kita tak muat apa-apa pun, orang kata ada masalah lain pula.
“Jadi, pada saya, apa sahaja yang kita buat pun pasti akan ada orang yang membuat spekulasi dan berikan pendapat masing-masing. Nama pun pendapat, jadi betul atau tidak, itu terpulang.
“Untuk saya jelaskan kepada setiap orang yang beri pendapat itu, saya rasa mustahil dan takkan habis,” katanya.
Terbaharu, Aliff kini dalam proses menyiapkan single terbaharunya yang masih dirahsiakan.
“Sebenarnya dah ada satu single baharu. Doakan semoga semuanya dipermudahkan untuk projek bersama Warner Music Malaysia itu. Insya-Allah, ia akan dilancarkan pada tahun ini atau tahun depan.
“Selain itu, saya juga sedang berjinak-jinak dalam beberapa bidang lain juga antaranya saya belajar berniaga memandangkan ada kawan-kawan dalam kalangan usahawan,” katanya.
Aliff juga akan membuat persembahan di acara Havoc Trio Festival 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 4 hingga 7 Disember depan.
Selain Aliff, acara itu menampilkan barisan artis popular tanah air antaranya Mark Adam, Ruhainies, Risteena, Asfan Shah, Syura Badron, Qistina Raisya, Daud Latah, Chef Ammar, Azza Elit, Saharul Ridzwan, Vokey dan Zarina Zainuddin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




