Ninot Aziz lancar dua penerbitan di Pesta Buku Antarabangsa Selangor

Ninot Aziz lancar dua penerbitan di Pesta Buku Antarabangsa Selangor

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penulis dan pendukung budaya, Ninot Aziz, akan melancarkan dua penerbitan di Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) pada 30 November ini.

Penerbitan utama ialah Beyond the Malay Archipelago: An Illustrated Encyclopaedia of Ancient Southeast Asia, sebuah ensiklopedia baharu hasil kerjasama 20 pakar dunia dan ahli akademik dari enam negara, termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, dan United Kingdom.

Ninot Aziz berkata, ensiklopedia ini ialah jambatan antara masa silam dan masa depan.

“Dengan menghimpunkan ilmu daripada pakar dunia, kita menuntut kembali keberadaan serumpun serantau yang sewajarnya dalam tamadun dunia,” katanya yang juga pengasas Hikayat Fandom dan Presiden Persatuan Sastera Lisan Kebangsaan (PERSALINA).

Karya ini menghimpunkan pengetahuan mengenai kerajaan purba, kuasa maritim, kesusasteraan, dan tapak warisan serantau.

Turut dilancarkan ialah Kembara Leyla; Rahsia Empayar Uthmaniyah, iaitu versi Bahasa Melayu untuk remaja bagi novel Leyla’s Quest Echoes of Uthmaniyah.

Novel ini ditulis semula bersama penterjemah Irni Fazrita Farid dan turut memuatkan pratonton bagi sekuelnya.

Selain itu, Hikayat Fandom juga memuktamadkan perjanjian dengan Neeweh Publications House di Iran untuk menerbitkan Leyla’s Quest dalam bahasa Parsi (Farsi).

Langkah ini dilihat sebagai usaha mewujudkan koridor sastera baharu yang menghubungkan Malaysia, Indonesia, Iran, Azerbaijan, dan Turkiye.

Majlis pelancaran rasmi akan berlangsung jam 2.30 petang di Setia Alam Convention Centre, Shah Alam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top