Jangan cuba-cuba nak lindungi PATI

Jangan cuba-cuba nak lindungi PATI

harisfadli@hmetro.com.my

Klang: Pemilik premis warga tempatan diberi amaran keras tidak menyewakan kediaman milik mereka kepada golongan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, sekiranya ditangkap, pemilik premis boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Menurutnya, bukan warga asing saja yang akan dikenakan tindakan, tetapi warga tempatan yang menggajikan atau melindungi PATI juga tidak terlepas daripada pengadilan.

“Ini adalah peraturan, tiada sesiapa yang lebih tinggi daripada undang-undang. Semua kena faham tidak boleh lindungi PATI.

“Kalau tertangkap, bukan saja PATI terbabit yang ‘kena’ tetapi pemilik premis juga boleh didakwa,” katanya pada sidang media di Pangsapuri Pendamar, Pelabuhan Klang, di sini, awal pagi hari ini.

Turut hadir dalam operasi penguatkuasaan itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamarudin dan Timbalan Pengarah Imigresen Selangor, Redman Safar.

Terdahulu, seramai 286 warga asing diperiksa menerusi Ops Sapu di pangsapuri sembilan tingkat berkenaan dan 95 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, warga asing ditahan terdiri daripada 70 lelaki dan 25 wanita berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun itu dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih, Selangor.

Katanya, PATI ditahan terdiri daripada, 17 lelaki dan 21 wanita Indonesia, 19 lelaki dan dua wanita Bangladesh, 16 lelaki dan dua wanita India, 10 lelaki Nepal serta lapan lelaki Pakistan yang rata-ratanya bekerja di sektor perkilangan di kawasan sekitar.

“Operasi dijalankan susulan aduan awam yang diterima kira-kira seminggu lalu berhubung kebanjiran PATI di kawasan berkenaan.

“Dalam tempoh seminggu risikan dibuat dan malam ini adalah masa yang optimum untuk operasi ini dilaksanakan dan ini membuktikan setiap aduan diterima adalah dihargai,” katanya.

Menurutnya, operasi itu bermula kira-kira 9 malam membabitkan 78 pegawai dan anggota daripada JIM Selangor dan keseluruhannya sebanyak 261 premis diperiksa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top