'Belum boleh umum sasaran pingat skuad olahraga'

'Belum boleh umum sasaran pingat skuad olahraga'

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sasaran pingat skuad olahraga negara bagi Sukan Sea Thailand bulan depan masih menjadi tanda tanya apabila Presidennya, Datuk Karim Ibrahim enggan mendedahkan angka sebenar, sebaliknya mahu membuat penilaian terakhir selepas meneliti prestasi atlet dan pesaing utama rantau ini.

Karim berkata, pihaknya tidak mahu terburu-buru mengumumkan sasaran kerana beberapa atlet negara dan pesaing seperti Thailand serta Vietnam masih beraksi di kejohanan serantau dan luar Asia yang menjadi indikator prestasi semasa.

“Sasaran belum boleh umum. Kita perlu lihat statistik keseluruhan. Ada lagi kejohanan yang sedang diikuti atlet Malaysia dan negara jiran. Bila semua data lengkap, baru kita kemukakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya selepas lawatan Ketua Kontinjen, Nurul Huda Abdullah di MSN hari ini.

Dalam ucapan ringkasnya, Karim ada menyentuh mengenai lapan pingat emas yang diraih pada edisi Kuala Lumpur 2017, namun menegaskan angka itu bukan petunjuk rasmi untuk temasya di Bangkok.

“Jangan salah faham. 2017 kita dapat lapan. Itu pencapaian masa itu. Sekarang situasi berbeza, saya baru ambil alih enam bulan. Kita buat penilaian realistik,” katanya.

Beliau menjelaskan satu sidang media khas akan diadakan dalam masa terdekat sebelum atlet berlepas, bagi mengumumkan sasaran sebenar serta menjawab persoalan media.

Karim turut menegaskan bahawa semua atlet dan jurulatih berada dalam suasana dahagakan kemenangan menjelang Sukan Sea kali ini.

“Tiada siapa pergi Bangkok untuk kalah. Kita akan cuba sehabis baik. Galakan dan sokongan sangat penting,” katanya.

Pada edisi lalu di Kemboja pasukan olahraga meraih lima emas, tiga perak dan 11 gangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top