Tokyo: Sekumpulan remaja di Pulau Okinawa, Jepun menemukan wang tunai selepas menyelinap masuk ke sebuah rumah terbiar pada awal tahun ini, lapor MustShareNews.
Daripada menemukan ‘hantu’, mereka menjumpai rezeki besar berupa timbunan wang tunai.
Akhbar Ryukyu Shimpo melaporkan pada 15 November lalu bahawa insiden itu berlaku sekitar Mei lalu di pulau utama Okinawa, apabila beberapa pelajar sekolah menengah menemukan sebuah rumah yang ditinggalkan kosong lebih 20 tahun dan dipenuhi semak samun.
Remaja itu didakwa menceroboh harta terbiar berkenaan sebagai ‘ujian keberanian’ sebelum menemukan sekurang-kurangnya 100 juta yen (kira-kira RM2.64 juta) dalam bentuk wang kertas lama 10,000 yen (kira-kira RM264).
Mereka kemudian mencuri sebahagian daripada wang itu dan meninggalkan tempat kejadian.
Walaupun ia sepatutnya menjadi rahsia kumpulan, berita mengenai wang itu akhirnya tersebar dalam kalangan pelajar lain di sekolah mereka.
Sepanjang Mei dan Jun, semakin ramai remaja didapati memecah masuk ke rumah itu dan mencuri lebih banyak wang tunai di situ.
Wang berkenaan dikatakan dibelanjakan untuk aktiviti tidak berfaedah termasuk
untuk berhibur.
Seorang remaja juga didakwa membeli sebuah motosikal melalui media sosial kononnya untuk mengelakkan syak wasangka kerana memiliki sejumlah besar wang kertas lama.
Seseorang yang rapat dengan salah seorang remaja lelaki terbabit menjadi curiga mengenai jumlah wang tunai yang dimiliki individu itu dan memaklumkan kepada polis pada Julai lalu.
Polis kemudian mengepung rumah terbiar itu, meletakkan terpal biru di atas pagar dan kini sedang menjalankan siasatan lanjut.
Menurut laporan, tanah tempat rumah kosong itu dibina dimiliki bersama oleh beberapa individu.
Seorang saudara kepada pengurus utama tanah itu memaklumkan dia tidak marah remaja yang menemukan wang itu dan berpendapat mereka harus dibiarkan sahaja.
Bagaimanapun, seorang lagi individu yang terbabit dalam pemilikan tanah itu mempersoalkan mengapa terdapat begitu banyak wang tunai di dalam rumah itu, lantas menggesa supaya siasatan dijalankan dan meminta remaja yang terbabit dipertanggungjawabkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




