nurhanim.osman@bh.com.my
Kuala Lumpur: Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, bersetuju kejadian yang berlaku kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada malam 15 Julai 2025 boleh dikategorikan sebagai buli lisan.
Saksi ke-50, Solehah Md Noh, yang bertugas di sekolah itu sejak 2015, memberitahu Mahkamah Khas Koroner hari ini bahawa pada malam itu, beliau dimaklumkan oleh seorang guru lain mengenai kejadian yang menimpa Zara Qairina.
Pasukan peguam kepada ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, dalam kenyataan memaklumkan saksi memberitahu Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan, berdasarkan maklumat yang diterima, Zara Qairina dipanggil ke sebuah dorm dan dimarahi oleh beberapa pelajar senior dengan perkataan seperti ‘bodoh’ dan ‘sial’ berhubung dakwaan kes kecurian.
Saksi berkata, terdapat rakan dorm turut melakukan pemeriksaan terhadap beg dan loker mangsa.
“Saksi bersetuju kejadian itu boleh dikategorikan sebagai buli lisan.
“Ini kerana wujudnya perkataan-perkataan yang kesat dikeluarkan kepada Zara Qairina dengan nada marah oleh pelajar-pelajar senior yang boleh menyebabkan gangguan emosi,” katanya ketika memberi keterangan.
Saksi turut memaklumkan pada 16 Julai, sehari selepas kejadian, sekolah mengadakan sesi intervensi di luar sekolah membabitkan 11 pelajar dorm Zara Qairina yang mengalami trauma.
Saksi mengesahkan wujudnya siasatan dalaman dan sesi kaunseling terhadap pelajar yang terbabit, namun mengakui ibu Zara Qairina tidak pernah dimaklumkan tentang hasil siasatan atau sesi kaunseling itu sehingga hari ini.
Saksi juga mengesahkan bahawa saksi ke-49, Cikgu Yuslina, mengimbas diari Zara Qairina selepas kejadian bagi tujuan yang didakwa sebagai simpanan sekolah, selain usaha mencari punca insiden.
Walaupun berada di hospital pada 17 Julai bersama beberapa guru, saksi mengakui tiada seorang pun daripada mereka memaklumkan kepada keluarga Zara Qairina mengenai apa yang berlaku kepada pelajar itu pada malam 15 Julai.
Inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina diteruskan pada Isnin.
© New Straits Times Press (M) Bhd




