Sepakan gunting Ronaldo menakjubkan pada usia 40 tahun

Sepakan gunting Ronaldo  menakjubkan pada usia 40 tahun

Riyadh: Cristiano Ronaldo sekali lagi mempamerkan keistimewaan pada usia 40 tahun apabila menjaringkan gol menerusi sepakan gunting menakjubkan ketika Al-Nassr menewaskan Al-Khaleej 4-1 dalam saingan Liga Pro Saudi, awal pagi tadi.

Pasukan tuan rumah yang kekal tanpa kalah dalam sembilan perlawanan membuka jaringan menerusi Joao Felix enam minit sebelum separuh masa dan menggandakan kedudukan melalui Wesley hanya tiga minit kemudian.

Pasukan pelawat merapatkan jurang dua minit selepas separuh masa kedua namun Al-Nassr memastikan kemenangan pada minit ke-77 melalui legenda Liverpool, Sadio Mane.

Legenda Manchester United itu menunggu sehingga saat-saat akhir untuk menambah namanya di papan skor dan melakukannya dengan penuh gaya, seolah-olah kembali ke zaman kegemilangannya pada minit keenam waktu tambahan.

Ronaldo sekali lagi membuktikan usia hanyalah angka apabila dia mengulangi jaringan sensasi yang pernah dilakukannya pada 2018 ketika bersama Real Madrid menentang Juventus pada suku akhir Liga Juara-Juara.

Penyerang bintang itu menyambut hantaran silang tepat daripada Nawaf Boushal dari sebelah kanan dan melompat lebih tinggi daripada semua pemain lain untuk melakukan rembatan gunting yang luar biasa.

Stadium Al-Awwal Park bergema dengan sorakan tidak terkawal, begitu juga dengan peminat di rumah yang membanjiri media sosial.

Seorang peminat menulis: “Dia menakjubkan pada usia 40 tahun!”

Yang lain berkata: “‘Ah sudah, aku Cristiano Ronaldo’.”

Peminat ketiga menulis: “Buat macam ni pada umur 40, apa hal.”

Seorang lagi berkata: “Dia 41 dalam 3 bulan lagi btw…”

Ada juga yang menambah: “Hanya Ronaldo buat bicycle kick pada umur 40.” Satu lagi komen berbunyi: “Nampaknya aku yang umur 40, bukan dia.”

Jaringan itu yang ke-954 dalam kariernya dan Ronaldo pernah menjaringkan menerusi aksi sama ketika Portugal menentang Poland dalam Liga Negara-Negara Eropah pada November 2024.

Al-Nassr kini berada di tangga teratas liga dengan kelebihan empat mata berbanding Al-Hilal di tempat kedua, yang juga belum tewas dengan tujuh kemenangan dalam sembilan perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top