Manchester, England: Everton meraih kemenangan kali pertama dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford selepas 12 tahun, walaupun bermain hampir keseluruhan perlawanan dengan 10 pemain apabila Idrissa Gueye dibuang padang kerana menampar rakan sepasukannya, Michael Keane, awal pagi tadi.
Gol cantik Kiernan Dewsbury-Hall pada separuh masa pertama memastikan kemenangan 1-0 buat pelawat, yang bangkit selepas insiden panas pada minit ke-13 apabila Gueye dan Keane bertengkar sesama sendiri.
United, yang berpeluang naik ke tangga kelima jika menang, mendominasi penguasaan bola terutama pada babak kedua, tetapi Everton bertahan dengan sangat baik untuk mengekang serangan tuan rumah yang tampak tumpul di depan gawang.
Penjaga gol Everton, Jordan Pickford, melakukan beberapa aksi cemerlang bagi mempertahankan kedudukan, termasuk satu refleks hebat menepis tandukan Joshua Zirkzee 10 minit sebelum tamat.
Kemenangan di tempat lawan kedua musim ini melonjakkan Everton mengatasi jiran dan juara bertahan Liverpool ke tangga ke-11, berkongsi 18 mata dengan United yang berada satu anak tangga di atas berdasarkan perbezaan gol.
Pengurus Everton, David Moyes, sebelum ini gagal menang dalam 17 perlawanan EPL sebagai pengurus pelawat di Old Trafford. Kemenangan terakhir Everton di stadium keramat itu pada 2013, ketika Moyes sendiri menguruskan United dalam tempoh singkatnya di kelab itu.
Rentetan buruk itu nampak seperti berterusan apabila Seamus Coleman terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan selepas 10 minit perlawanan.
Namun keadaan menjadi lebih buruk selepas itu dalam satu insiden pelik.
Selepas percubaan Bruno Fernandes tersasar hasil salah faham pertahanan Everton, berlaku pertengkaran panas antara Gueye dan Keane. Keane menolak Gueye, sebelum Gueye membalas dengan satu tamparan ke muka, menyebabkan pengadil Tony Harrington terus melayang kad merah. VAR kemudian mengesahkan keputusan itu.
Ia kali pertama sejak 2008 seorang pemain EPL dibuang padang kerana bergaduh dengan rakan sepasukan sendiri ketika Ricardo Fuller (Stoke City) menampar Andy Griffin semasa aksi menentang West Ham.
Pada ketika itu, peluang Everton tampak suram kerana United tidak pernah tewas di Old Trafford menentang lawan yang kehilangan pemain.
Namun Everton menunjukkan ‘aksi’ sebenar dan menjaringkan gol menerusi gerakan menarik Dewsbury-Hall yang memecut ke dalam sebelum melepaskan rembatan padu dari luar kotak penalti, menewaskan penjaga gol Senne Lammens yang lambat bertindak.
United gagal memanfaatkan kelebihan pemain, dan selain rembatan jarak jauh Fernandes yang diselamatkan Pickford, mereka tidak banyak mengancam pada babak pertama.
Tuan rumah meningkatkan tekanan selepas rehat apabila Everton lebih bertahan. Bryan Mbeumo dinafikan Pickford, dan Mason Mount pula melepaskan rembatan rendah yang sedikit tersasar.
Pickford kemudian melakukan satu lagi aksi kelas dunia, menepis tandukan Zirkzee dan menafikan penyerang itu sekali lagi pada saat-saat akhir yang penuh dramatik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




