am@hmetro.com.my
Pekan: Sepasang suami isteri warga emas dan seorang anak mereka tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman di Kampung Baru, Pulau Serai, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud, pihaknya menerima laporan mengenai kebakaran jam 8.30 pagi tadi.
Menurutnya, sebaik mendapat laporan 14 anggota BBP Peramu dan BBP Pekan bergegas ke lokasi kejadian dan ketika bomba tiba mendapati api sedang marak.
Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran.
“Rumah itu dihuni seorang pesara kerajaan berusia 77 tahun, isterinya berusia 75 tahun dan anak lelaki pasangan terbabit berusia 41 tahun.
“Difahamkan, ketika kebakaran mangsa tiada di rumah kerana mereka keluar bersarapan di luar,” katanya ketika dihubungi.
Wan Samsul Effendi berkata, kebakaran itu menyebabkan rumah jenis separuh kekal berkenaan hangus 100 peratus.
Katanya, punca kebakaran dan nilai kerugian sedang disiasat serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




