am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Pasukan penyelamat sukarela dari Malaysia berdepan kesukaran masuk ke Hatyai dan Songkhla selepas
Thailand mengeluarkan amaran tahap merah banjir besar yang melanda selatan negara itu.
Banjir yang terus memburuk itu kini mencatat paras air sehingga 1.5 meter, sekali gus menyukarkan usaha pasukan sukarela untuk menyelamat lebih 1,000 pelancong Malaysia yang masih terperangkap di kawasan terjejas.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat, berkata keadaan kritikal di Hatyai dan Songkhla berkemungkinan menyebabkan pasukan tentera Thailand tidak membenarkan mereka memasuki kawasan bencana.
“Kami menerima lebih 1,000 panggilan kecemasan pagi ini. Jika kami dihalang masuk, saya benar-benar bimbang nasib mereka.
“Kami juga akan meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Thailand untuk membantu melancarkan kemasukan kami,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beng Tat berkata beliau turut berharap kerajaan Malaysia tampil menghulurkan bantuan segera dengan menghantar pasukan penyelamat rasmi bagi mempercepatkan proses membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas.
Katanya, banjir kali ini sudah berlarutan selama lima hari dan pasukannya berada di lapangan sejak hari pertama kejadian.
“Dua lagi pasukan sukarela dari Malaysia kini dalam perjalanan ke kawasan bencana termasuk satu pasukan membawa bot penyelamat dan satu lagi membawa bekalan bantuan lain.
Leong berkata paras air sempat surut pada hari ketiga banjir namun sebahagian pelancong Malaysia memilih untuk tidak pulang pada waktu itu.
Katanya, keadaan kembali meruncing dan laluan keluar kini tidak lagi selamat.
“Kami hanya berharap tentera Thailand memberi laluan dan kerjasama supaya proses menyelamat dapat dilakukan segera,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




