Jakarta: Ibu negara Indonesia yang sibuk dan padat penduduk kini menggantikan Tokyo sebagai bandar paling ramai penduduk di dunia, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pengukuran itu selepas penggunaan kaedah baharu dalam pengiraan populasi bandar, lapor The New York Times.
Jakarta dianggarkan mempunyai 42 juta penduduk iaitu hampir sama dengan populasi Kanada, menurut laporan Prospek Urbanisasi Dunia 2025 PBB yang diterbitkan, 18 November lalu.
Menyusul selepasnya, Dhaka yang juga ibu negara Bangladesh dengan 37 juta penduduk, sementara Tokyo, Jepun kini di tempat ketiga dengan 33 juta penduduk.
Kedudukan itu menandakan perubahan drastik berbanding laporan terdahulu yang diterbitkan pada 2018, yang mana Jakarta berada di tempat ke-33 dengan 11 juta orang dan Tokyo di tempat pertama dengan 37 juta penduduk.
Perubahan berlaku sebahagian besarnya disebabkan oleh metodologi baharu laporan. Sebelum ini, anggaran populasi PBB didasarkan pada statistik rasmi negara yang menggunakan metrik yang sangat berbeza.
Kali ini, laporan itu menggunakan pendekatan yang konsisten merentasi negara untuk mengkategorikan bandar raya, bandar dan kawasan luar bandar.
Bagi Jakarta yang terbentang di sepanjang pantai barat laut Pulau Jawa, metodologi baharu itu menganggarkan kira-kira 30 juta penduduk lebih ramai berbanding kriteria terdahulu.
Statistik rasmi negara untuk kawasan metropolitan tidak memasukkan ‘komuniti berpenduduk padat’ yang bersambung dengan pusat bandar, kata laporan itu.
Dengan kriteria baharu, penyelidik mendapati Tokyo menjadi bandar paling ramai penduduk di dunia sehingga sekitar 2010 apabila Jakarta mengambil alih.
Tokyo seperti seluruh Jepun mengalami penyusutan populasi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pertumbuhan mendadak Jakarta sepanjang beberapa dekad lalu pula didorong oleh migrasi besar-besaran, selain pembangunan baharu dan projek infrastruktur.
Pertumbuhan itu juga menyebabkan penempatan tidak formal yang luas di pusat bandar dan komuniti sekitarnya di mana golongan miskin dan kelas pekerja membina perkampungan padat yang selalunya berdekatan dengan bangunan pencakar langit, sekali gus menyerlahkan jurang ekonomi Jakarta yang ketara.
Jutaan penduduk di penempatan tidak formal itu yang dikenali sebagai kampung (setinggan) dalam bahasa tempatan selalunya kekurangan air bersih, bekalan elektrik dan sistem pelupusan sisa dan biasanya tidak dikira dalam statistik rasmi negara bagi bandar itu, kata Profesor Perancangan Bandar di Universiti King Saud, Arab Saudi, Profesor Waleed Alzamil.
Laporan PBB itu dijangka membantu penggubal dasar, perancang dan penyelidik meningkatkan perumahan, pengangkutan, sanitasi, sistem kesihatan dan perkhidmatan awam lain di seluruh dunia terutamanya di bandar-bandar yang semakin pesat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




