am@hmetro.com.my
Bera: Polis menumpaskan sindiket penipuan pelaburan didalangi warga China selepas menyerbu sebuah hotel di Triang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera jam 2:15 petang semalam.
Menurutnya, hasil serbuan itu enam lelaki dan dua wanita warga China berusia antara 28 dan 39 tahun disyaki operator pusat panggilan sindiket itu ditahan.
Katanya, pusat operasi penipuan itu dipercayai wujud sejak Oktober lalu.
“Selain itu, polis turut merampas dua komputer riba dan 19 telefon bimbit dipercayai digunakan untuk aktiviti penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan aplikasi Telegram bagi mendapatkan maklumat mangsa di China.
Menurutnya, kumpulan terbabit kemudian memperdayakan mangsa melalui skim pelaburan palsu.
Katanya, mereka menggunakan taktik menyamar sebagai pegawai kewangan, penasihat pelaburan atau wakil institusi tertentu untuk memperdayakan mangsa.
“Polis percaya ramai mangsa terpedaya terhadap kerana modus operandi sindiket itu kerana mereia sentiasa mengubah tektik bagi mengelak dikesan.
“Masyarakat jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan berisiko tinggi, khususnya yang membabitkan urusan dalam talian.
Semua suspek direman hingga isnin hadapan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan kerana bersubahat dan menipu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




