Doha: Novak Djokovic berkata dia sedang ‘membina semula’ keadaan fizikalnya sepanjang musim rehat tenis bagi mempersiapkan diri menghadapi musim ke-23 sebagai pemain profesional.
Juara Grand Slam 24 kali itu, yang genap 38 tahun musim panas lalu, berharap fokus lebih intensif terhadap pemulihan dan kecergasan dapat membantunya mengatasi masalah kecederaan yang kerap mengganggu kempen tahun ini.
Djokovic bergelut dengan kecederaan bahu berulang yang memaksanya menarik diri daripada Final ATP di Turin bulan ini.
Pemain Serbia itu juga terpaksa menarik diri akibat kecederaan pada aksi separuh akhir Terbuka Australia menentang Alexander Zverev, Januari lalu.
Dia juga memerlukan rawatan kecemasan ketika kemenangan pusingan ketiga ke atas Cameron Norrie di Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada Ogos, sebelum tewas kepada juara, Carlos Alcaraz, di separuh akhir.
Bercakap kepada Sky Sports di Grand Prix (GP) Qatar, Djokovic berkata: “Saya ambil sedikit masa rehat dan cuba membina semula ‘mesin’ saya, kalau ikut bahasa perlumbaan.
“Dalam 18 bulan terakhir, saya lebih kerap cedera berbanding biasa, jadi saya cuba membina semula badan saya supaya permulaan musim depan jadi lebih baik dan, harapnya, saya boleh kekal bersaing dengan pemain terbaik.”
Pertembungan ikonik Djokovic dengan Roger Federer, Rafa Nadal dan Andy Murray memberi contoh terbaik mengenai apa yang diperlukan untuk kekal di puncak tertinggi.
Dengan Lando Norris, Oscar Piastri dan Max Verstappen bersaing merebut kejuaraan pemandu F1 di Qatar minggu ini, Djokovic turut memberikan sedikit nasihat.
“Kalau saya berada dalam kedudukan mereka, saya akan kekal dalam ‘gelembung’ sendiri. Terlalu banyak perkara berlaku di sekeliling. Saya benar-benar kagum dan terkejut dengan persaingan antara mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




