Kereta bertembung, suami isteri maut, anak parah dalam kemalangan

Kereta bertembung, suami isteri maut, anak parah dalam kemalangan

am@hmetro.com.my

Bentong: Suami isteri maut manakala anak lelaki mereka parah akibat kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Kuala Lumpur, dekat Kampung Ketari, di sini, hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata kemalangan membabitkan kereta Proton Iswara dan Mercedes Benz yang berlaku jam 8 malam.

Menurutnya, lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat laporan mengenai kemalangan itu pada jam 8.19 malam.

“Bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa tersepit dan didapati penumpang depan dan seorang penumpang belakang kereta terbabit sudah meninggal dunia. Suami isteri itu masing-masing berusia 51 tahun.

“Manakala pemandu berusia 23 tahun yang juga anak lelaki pasangan terbabit cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, untuk rawatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Manakala pemandu Mercedes Benz berusia 40 tahun pula hanya cedera ringan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Zulfadli, ketika kejadian kereta dinaiki tiga sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Bentong dan bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat dan polis sedang menyiasat punca kemalangan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top