Milan: Milan mensasarkan untuk meneruskan rekod tanpa kalah dalam Serie A dan mengekalkan kedudukan teratas apabila mereka menentang Sassuolo hujung minggu ini, manakala Napoli dan Inter pula beraksi di tempat lawan selepas kedua-duanya mengalami kekalahan dalam saingan Liga Juara-Juara.
Pasukan kendalian Massimiliano Allegri itu tewas kepada Cremonese pada aksi pembukaan, namun sejak itu tidak kalah dalam liga, meraih sembilan kemenangan daripada 13 perlawanan untuk naik ke puncak carta.
Milan tersingkir daripada Piala Itali kepada Lazio minggu lalu, tetapi kekalahan itu memberi sedikit kelegaan kerana mengurangkan jumlah perlawanan yang perlu dihadapi dan dengan Milan tidak terbabit dalam saingan Eropah, ia mungkin menjadi faktor penting dalam perebutan Scudetto.
Sassuolo tiba di San Siro pada Ahad selepas menang 3-1 ke atas Fiorentina yang membawa mereka ke tangga kelapan liga.
Milan tidak dapat menurunkan Rafael Leao yang masih cedera, tetapi Christian Pulisic sudah kembali cergas.
Pulisic pulih daripada demam dan kembali berada di bangku simpanan ketika menentang Torino pada Isnin.
Dia menjaringkan gol 35 saat selepas dimasukkan dan menambah satu lagi 10 minit kemudian untuk melengkapkan kemenangan 3-2 Milan.
Menjaga kecergasan Pulisic menjadi keutamaan dalam misi Milan memburu Scudetto.
Pemain sayap itu, yang banyak digunakan Allegri sebagai penyerang kedua, hanya beraksi sembilan perlawanan liga daripada 14 dan bermula lima kali, tetapi sudah mengumpul tujuh gol.
Sassuolo pula kehilangan penyerang Andrea Pinamonti yang cedera ketika menentang Fiorentina selepas memulakan setiap perlawanan liga musim ini dan menjaringkan empat gol.
© New Straits Times Press (M) Bhd




