Kuala Lumpur : Karpet merah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-37 sekali lagi menjadi tumpuan apabila barisan selebriti tampil dengan gaya elegan, moden dan sopan, selaras tema penganjuran tahun ini.
Seawal jam 7.30 malam, kehadiran artis tanah air menghidupkan suasana dengan pilihan busana yang berani namun tetap mematuhi garis panduan santun, sekali gus mencerminkan identiti ABPBH sebagai acara hiburan paling berprestij negara.
Warna pastel dilihat mendominasi pilihan selebriti, namun setiap penampilan tetap diolah dengan sentuhan moden yang memberikan nafas segar.
Ada yang memilih potongan klasik dengan elemen kontemporari, tidak kurang juga yang menambah aksesori dramatik tanpa menjejaskan kesopanan.
Antara yang mencuri tumpuan ialah gaun tradisional moden berwarna ungu yang digayakan Sweet Qismina.
Sebelum ini, Sweet Qismina mencuri perhatian di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-34 dengan baju kurung Pahang, dan kali ini beliau kekal memilih konsep tradisional rekaan Zaimi Zulkafli.
Gaun labuh dan potongan tertutup namun anggun turut menjadi pilihan ramai calon akhir ABPBH 37, antaranya Tracie Sinidol, Cik Piah, Fasha Sandha, Kiky Hannah, Umairah dan Isyariana.
Seperti kebiasaan, penampilan Sophia Albarakbah tidak menghampakan apabila memilih busana coklat sentuhan Azzim Aziz yang tampil sederhana namun tetap menyerlah di karpet merah.
Turut menarik perhatian ialah kehadiran Datin Seri Heliza Helmi dengan busana berona putih, hijau dan merah berkonsepkan bendera Palestin, direka oleh Eja Shahril.
Sementara itu, selebriti lelaki tampil segak dengan tuksedo dan sut potongan moden, termasuk Edika Yusof, Zarif Ghazzi, Hael Husaini, Zahiril Adzim, Jazmy Juma, Adam Lee, Nazrief Nazri dan DJ Sonic.
Sokongan keluarga turut menambah kemanisan malam itu apabila isteri Edika, Nor Hidayah Yusri, hadir berkerusi roda untuk menemani suaminya.
Antara selebriti lain yang hadir bersama pasangan ialah Nazrief Nazri, Datuk Yusry Abdul Halim bersama isterinya, Datin Lisa Surihani.
Secara keseluruhan, ABPBH 37 membuktikan bahawa fesyen black tie boleh disesuaikan dengan identiti elegan dan sopan.
Karpet merah tahun ini bukan sahaja merakam momen gaya terbaik selebriti tempatan, tetapi turut mengangkat kreativiti pereka fesyen tanah air.
Turut hadir memberi sokongan ialah selebriti seperti Zamarul Hisham dan isterinya, Diana Rafar; Fadlan Hazim dan isteri, Aiya Mukhamedsalova; serta Chacha Maembong.
© New Straits Times Press (M) Bhd




