am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Seekor harimau dahan berjaya ditangkap di Kampung Sungai Mas, Bechah Salak, di sini, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Krai Kapten (PA) Abd Fatah Abd Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.27 tengah malam daripada penduduk kampung yang memaklumkan kehadiran haiwan berkenaan di penempatan mereka.
Menurutnya, sebaik menerima laporan itu, seramai empat anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan melakukan pemantauan di kawasan sekitar.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seekor harimau dahan berada di dalam reban itik yang terletak berhampiran sebuah rumah penduduk.
“Anggota yang bertugas bertindak pantas dengan menjalankan operasi tangkapan menggunakan penjerut yang mengambil masa kira-kira sembilan minit bagi memastikan keselamatan anggota dan penduduk setempat,” katanya.
Menurutnya, harimau dahan itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sangkar sementara sebelum dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kuala Krai sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.
“Operasi tamat sepenuhnya diselesaikan sepenuhnya pada 1.06 pagi,” katanya.
Beliau menasihatkan orang awam agar segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran haiwan liar di kawasan penempatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




