SPRM kemuka enam cadangan tatakelola pengurusan kewangan kepada LPP Perlis

SPRM kemuka enam cadangan tatakelola pengurusan kewangan kepada LPP Perlis

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kangar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis mengemukakan enam cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Perlis bagi memperkukuh tadbir urus, integriti dan pencegahan rasuah dalam pengurusan kewangan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, cadangan berkenaan menumpukan kepada dua aspek utama iaitu pengurusan penerimaan bayaran tunai menerusi Sistem Primari Pertubuhan Peladang (SPPP) serta pengurusan pemberian kredit dan pinjaman input pertanian.

“Cadangan penambahbaikan itu antaranya melibatkan penambahbaikan Garis Panduan Sistem Merekod Penerimaan Tunai dengan penyediaan perincian tatacara perekodan hasil atau tunai melalui SPPP, selain pewujudan Borang Akuan Serah Terima Wang Tunai bagi memastikan proses pengurusan tunai dilaksanakan secara lebih telus dan teratur.

“Berkaitan urusan pinjaman, LPP perlu menguatkuasakan pematuhan terhadap Arahan Pendaftar Pertubuhan Peladang (AP4.1.6) berhubung panduan pemberian kredit dan pinjaman.

“Ini kerana semakan tatakelola SPRM Perlis terhadap PPK didapati mengamalkan pemberian pinjaman secara budi bicara tanpa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” kata kenyataan itu, hari ini.

Pembentangan cadangan itu disampaikan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perlis, Mohamad Razif Ab Rased kepada Pengarah LPPPerlis, Roshidah Ahmad yang menyambut baik penambahbaikan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani berkata, penambahbaikan tatakelola berkenaan menitikberatkan aspek pengurusan penerimaan bayaran tunai serta pematuhan prosedur dalam pemberian kredit dan pinjaman input pertanian bagi mengekang risiko ketirisan dan salah guna kuasa.

“Penambahbaikan tatakelola ini bertujuan memastikan setiap proses kewangan dilaksanakan secara telus, berakauntabiliti dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sesi pembentangan yang diadakan di pejabat LPP Perlis, di sini, hari ini.

Katanya, SPRM turut mengesyorkan pelaksanaan program pembudayaan integriti, pengukuhan nilai murni serta peningkatan kesedaran antirasuah secara menyeluruh di semua PPK sebagai langkah pencegahan berterusan.

Untuk rekod, majlis berkenaan turut menyaksikan sesi menandatangani dokumen Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara LPP Perlis dan SPRM Perlis yang turut dihadiri Timbalan Pengarah LPP Perlis, Azlinawati Romli serta pegawai kanan LPP lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top