hmetro.com.my
Kota Kinabalu: UMNO Sabah mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata pihaknya sudah mengenal pasti empat calon yang terdiri daripada wajah baharu bagi mengisi kekosongan kedua-dua kerusi terbabit.
Bagaimanapun, senarai calon terbabit akan dimuktamadkan kelak selepas mengadakan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi di peringkat bahagian parti di Kinabatangan dan Lamag.
“Kita ada empat orang calon (setakat ini). Daripada empat orang itu saya ingat semua adalah lelaki.
“Sudah tentu (calon) terdiri daripada wajah baru. Pertama, saya tengok (calon yang berpotensi) besar untuk menang.
“Seperti yang sudah diketahui, Kinabatangan dan Lamag adalah kawasan (kubu kuat) BN.
“Insya-Allah kita akan bawa perkara ini (untuk dibincangkan) pada masa yang sesuai,” katanya pada sidang media di Bangunan UMNO Sabah, di sini, malam ini.
Ditanya sama ada seorang daripada calon adalah anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, Mohd Naim Kurniawan Moktar, beliau enggan mengulas.
“Tiada komen (berkenaan nama Naim sebagai calon). Belum lagi diputuskan. Kita tunggu dan lihat.
“Berkenaan kenyataan (Naim), itu dia punya pandangan tapi di peringkat kepimpinan, kita juga mempunyai pandangan berbeza,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




