suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi perhatian serius terhadap dakwaan pengubahan wang haram yang membabitkan seorang pegawai atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang akan dilaksana dan dijalankan, serta menegaskan komitmen terhadap pematuhan undang-undang dan prinsip keadilan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan atau penghakiman sendiri sehingga siasatan selesai dan dapatan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa berkaitan.
“MINDEF akan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut atau mengambil tindakan seterusnya selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Hari ini Harian Metro melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kesediaan untuk menyiasat dakwaan aliran masuk tunai yang besar membabitkan seorang pegawai kanan tentera serta pihak berkaitan seperti didakwa oleh seorang aktivis.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengambil maklum laporan media berhubung dakwaan berkenaan dan tidak akan teragak-agak menjalankan siasatan sekiranya disokong oleh maklumat serta bukti yang sahih.
Terdahulu media melaporkan, seorang aktivis mendakwa bahawa “aliran masuk tunai yang besar” dikesan dalam akaun bank seorang pegawai kanan tentera serta ahli keluarganya.
Dia mendakwa audit forensik terhadap dokumen yang diterimanya mendedahkan kemasukan wang bulanan antara RM50,000 hingga RM60,000.
Dokumen berkenaan juga didakwa menunjukkan pemindahan wang yang lebih besar, mencecah beberapa ratus ribu ringgit, ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai tersebut.
Aktivis itu turut mendakwa dana itu dipindahkan daripada akaun milik syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
