Tsuneyasu idam kemenangan keempat bersama NSFC

Tsuneyasu idam kemenangan keempat bersama NSFC

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Meskipun sering diturunkan sebagai pemain gantian, penyerang import Negeri Sembilan FC (NSFC), Mio Tsuneyasu berazam untuk memberikan aksi terbaik bagi membantu pasukan mencapai kemenangan.

Justeru, penyerang import dari Jepun itu mahu terus memainkan peranan dengan lebih efektif dalam pasukan itu terutama pertembungan dengan Kelantan TRW pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Selepas skuad Hobin Jang Hobin mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) di gelanggang sama, Sabtu lalu, Tsuneyasu mengharapkan pasukannya dapat tampil dengan aksi lebih bertenaga bagi memburu kemenangan keempat musim ini.

“Kami perlu menggunakan kelebihan beraksi di Paroi untuk meraih tiga mata dan seterusnya merekodkan kemenangan keempat musim ini.

“Jika diturunkan, saya pasti akan memberikan persembahan terbaik dan berusaha menjaringkan gol bagi pasukan meraih kemenangan,” kata Tsuneyasu.

Perlawanan yang sepatutnya berlangsung di Kota Baharu bertukar ke Paroi atas permintaan pihak pengurusan Kelantan TRW atas faktor cuaca.

Dalam pada itu, Tsuneyasu mengakui teruja kerana dapat kekal bersama NSFC sehingga ke penghujung musim 2025/2026.

Pemain berusia 24 tahun yang berstatus pinjaman itu berharap dapat menambah rekod jaringan dan bantuan gol bersama NSFC pada baki saingan Liga Super musim ini.

Untuk rekod, Tsuneyasu merekodkan empat gol dan satu bantuan gol dalam 14 penampilan bersama skuad Rusa setakat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top