London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui gembira dengan ketahanan mental pasukannya yang kekal tenang walaupun dibolosi gol lewat perlawanan sebelum mara ke separuh akhir Piala Liga, awal pagi tadi.
Penjaga gol Arsenal, Kepa Arrizabalaga menyelamatkan sepakan penalti pertahanan Palace, Maxence Lacroix untuk melakar kemenangan 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Crystal Palace, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Kegagalan itu melengkapkan malam malang buat pemain Perancis itu yang terlebih dahulu menjaringkan gol sendiri pada minit ke-80 sebelum kapten Palace, Marc Guehi menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.
Arsenal menang penentuan penalti 8-7 apabila semua sepakan lain berjaya disempurnakan dan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu kini akan menentang Chelsea pada separuh akhir Piala Liga.
Merujuk kepada perlawanan hari ini serta kemenangan 1-0 ke atas Everton pada aksi EPL hujung minggu lalu, Arteta berkata, jurang sepatutnya lebih besar dan mereka akan berusaha memperbaikinya selepas ini.
“Kami mencipta banyak peluang dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol. Apabila anda tidak menamatkan perlawanan, sentiasa ada kemungkinan untuk dibolosi.
“Kami mempunyai beberapa persembahan individu yang hebat. Kepa, tahap komitmennya bersama pasukan amat luar biasa.
“Saya fikir pemain sangat tenang ketika sepakan penalti dan akhirnya Kepa berjaya menyelamatkan satu. Kami berada di kedudukan yang kami inginkan.”
Arsenal yang menguasai penguasaan bola, akhirnya menemui jaringan apabila Lacroix tertolak bola ke gawang sendiri menewaskan penjaga gol, Walter Benitez selepas Palace gagal mengeluarkan bola hasil sepakan sudut Arsenal.
Benitez sebelum itu memastikan pasukannya terus kekal dalam perlawanan dengan beberapa aksi menyelamat cemerlang pada separuh masa pertama, termasuk dua kali menafikan percubaan Noni Madueke dari jarak dekat serta menepis tandukan Gabriel Jesus.
Palace yang juga juara Piala FA menunjukkan peningkatan selepas separuh masa pertama yang hambar, namun jarang mengancam sehingga Guehi menyambar bola hasil tandukan susulan sepakan percuma untuk membawa perlawanan ke penentuan sepakan penalti.
Perlawanan itu ditunda dari minggu lalu berikutan pertindihan jadual dengan aksi Palace dalam Liga Konferens UEFA.
Pengurus Palace, Oliver Glasner berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pasukannya pada separuh masa kedua.
“Walter Benitez memastikan kami terus bersaing dan separuh masa kedua jauh lebih seimbang,” katanya, sambil menambah pemainnya kini perlu berehat selama satu atau dua hari untuk menikmati Krismas bersama keluarga selepas jadual perlawanan yang padat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




