Pemalsuan dokumen 7 pemain warisan: Polis rakam 2 percakapan

Pemalsuan dokumen 7 pemain warisan: Polis rakam 2 percakapan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya susulan laporan dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan (pemalsuan) dan setakat ini hanya dua rakaman percakapan sudah diambil,” katanya ringkas di sini, hari ini.

Semalam media melaporkan, FAM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan tindakan itu dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka baru-baru ini.

Beliau dipetik berkata, “FAM komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top