Boling padang labuh tirai 2025 dengan kejayaan berganda

Boling padang labuh tirai 2025 dengan kejayaan berganda

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pasukan boling padang negara menutup tirai 2025 dengan penuh bergaya apabila meraih kejayaan berganda di pentas antarabangsa menerusi Kejohanan Terbuka China 2025 dan Kejohanan Jemputan Tiger World Bowls 2025 yang berlangsung di Hangzhou.

Pada Terbuka China skuad lelaki acara men’s fours muncul juara selepas menewaskan pasukan Zhu Hai dari China 9-6 dalam perlawanan akhir untuk merangkul pingat emas, manakala skuad wanita terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Zhong Ti Time di final.

Dalam laluan ke perlawanan akhir, pasukan lelaki menyingkirkan Korea Selatan di separuh akhir, sementara kuartet wanita menewaskan New Zealand bagi mengesahkan kemaraan masing-masing.

Kejayaan itu hadir susulan prestasi cemerlang skuad negara pada Kejohanan Jemputan Tiger World Bowls 2025 yang berlangsung dua hari lebih awal, apabila skuad wanita dinobatkan sebagai juara, manakala pasukan lelaki muncul naib juara.

Kedua-dua kejohanan berprestij itu dianjurkan secara berturut-turut buat pertama kali di China, sekali gus menguji tahap kecergasan, fokus serta konsistensi atlet negara.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kekuatan sebenar pasukan negara di pentas Asia.

“Syabas dan tahniah kepada pasukan boling padang negara atas kejayaan berganda ini. Jadual padat dan perlawanan secara berturut-turut bukan mudah, namun atlet berjaya mengekalkan kecergasan fizikal dan mental, semangat berpasukan serta konsistensi di tahap terbaik.

“Pencapaian ini penting untuk mengekalkan reputasi Malaysia sebagai antara pasukan terbaik Asia dan menjadi petunjuk positif menjelang kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan badan induk berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top