KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini membuat ketetapan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan COVID-19 di pusat beli-belah, pasar raya, kedai runcit dan premis jualan barangan lain, bermula Selasa depan.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata justeru pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memastikan pematuhan SOP ditetapkan, termasuk mengehadkan masa lawatan pengunjung kepada hanya sejam.
Beliau berkata, setiap pelanggan juga harus ada ruang 18.58 meter persegi (200 kaki persegi) dalam sesebuah premis bagi membolehkan penjarakan fizikal dilaksanakan secara berkesan.
“PBT dikehendaki menetapkan maksimum bilangan pengunjung kepada 50 peratus kapasiti sesebuah premis, manakala operasi perniagaan premis berkenaan pula hanya dibenarkan hingga jam 9 malam,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, perniagaan restoran termasuk di hotel, dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam, manakala yang lain seperti kedai makan, kedai dobi, kedai gunting rambut dan pusat cuci kenderaan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 9 malam. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd



