31 syarikat perkhidmatan penjagaan kanak-kanak disyaki terbabit kartel penetapan harga

31 syarikat perkhidmatan penjagaan kanak-kanak disyaki terbabit kartel penetapan harga

fahmy.azril@bh.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap 31 syarikat kerana didakwa terbabit dalam perjanjian penetapan harga secara horizontal berkaitan penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan.

Pengerusinya, Tan Sri Idrus Harun berkata, ia selepas mendapati syarikat berkenaan secara sementara melanggar Seksyen 4(1), Seksyen 4(2)(a) dan Seksyen 4(3) Akta Persaingan 2010 (Akta 712).

Beliau berkata, hasil siasatan MyCC mendapati syarikat berkenaan bukan sahaja membincangkan, malah bersetuju untuk menetapkan harga minimum bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak semasa mesyuarat persatuan yang diadakan pada September 2023.

“Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat terbabit kemudian disampaikan kepada semua peserta melalui memorandum.

“Selepas mesyuarat, pengumuman awam dibuat melalui akaun rasmi Facebook persatuan yang menyatakan bahawa semua pengendali pusat jagaan kanak-kanak telah sebulat suara bersetuju untuk menetapkan harga minimum bagi perkhidmatan penjagaan kanak-kanak berkuat kuasa mulai 2024.

“MyCC dapati bahawa perjanjian sedemikian bertujuan untuk secara signifikan menghalang, mengehadkan atau mengganggu persaingan dalam penyediaan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di Kelantan.

“Penting untuk diketengahkan bahawa pada peringkat ini, Keputusan Cadangan merupakan penemuan sementara dan tidak boleh dianggap bahawa syarikat-syarikat tersebut telah muktamad melanggar Akta 712,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, syarikat yang dinamakan dalam Keputusan Cadangan sudah pun dimaklumkan mengenai hukuman dan arahan yang dicadangkan hari ini.

Untuk itu, katanya, mereka diberi peluang untuk mengemukakan representasi bertulis dalam tempoh 30 hari selepas menerima Keputusan Cadangan serta membentangkan representasi lisan di hadapan suruhanjaya pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

“MyCC hanya akan mengeluarkan Keputusan Akhir selepas mempertimbangkan representasi yang dibuat oleh syarikat-syarikat tersebut serta bukti yang diperoleh sepanjang siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top