Chelsea masih bergelut kawal perlawanan

Chelsea masih bergelut kawal perlawanan

London: Pengendali Chelsea, Enzo Maresca berulang kali menegaskan pemainnya perlu belajar mengawal perlawanan, namun keputusan seri 2-2 yang diraih menentang Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi tadi, membuktikan masih banyak yang perlu diperbaiki.

Dalam tempoh 27 minit di awal permainan, Chelsea dikejutkan dengan jaringan awal David Brooks pada minit keenam sebelum bangkit mendahului 2-1 menerusi sepakan penalti Cole Palmer dan rembatan Enzo Fernandez.

Namun, kelekaan barisan pertahanan dihukum apabila Justin Kluivert menyamakan kedudukan menjadi 2-2.

Keputusan itu dirasakan sebagai satu lagi tamparan buat skuad Maresca selepas mereka melepaskan kelebihan untuk tewas 1-2 kepada Aston Villa pada Sabtu lalu, selain turut membenarkan Brighton dan Sunderland bangkit menang di Stamford Bridge musim ini.

Bournemouth, yang belum meraih kemenangan liga sejak hujung Oktober, memanfaatkan dua lontaran jauh yang mengucar-ngacirkan pertahanan Chelsea.

Pada saat-saat akhir perlawanan, pemain gantian Enes Unal hampir menghadiahkan kemenangan kepada pelawat, namun percubaannya menerusi voli tersasar.

Chelsea kini hanya mencatat satu kemenangan dalam tujuh perlawanan liga terakhir, jauh berbeza dengan keterujaan susulan kemenangan 3-0 ke atas Barcelona pada November lalu, yang kini menyaksikan mereka terkeluar daripada kelompok empat teratas Liga Juara-Juara.

Rasa kecewa jelas terpancar dalam kalangan penyokong tuan rumah apabila Chelsea lebih menguasai permainan pada babak kedua, namun gagal mencipta peluang.

Sorakan tidak puas hati turut kedengaran apabila Maresca mengeluarkan Cole Palmer pada minit ke-63.

Maresca tidak menghadiri sidang media selepas perlawanan kerana masalah kesihatan, dengan tugas menjelaskan prestasi pasukan dipikul penolongnya, Willy Caballero.

“Kami mencipta peluang, kami menjaringkan gol. Tapi kadang-kadang walaupun kami mendahului aksi, tetapi kami perlu mencari jalan untuk mengutip mata penuh dan menamatkan perlawanan,” kata Caballero.

Caballero turut menjelaskan Palmer dikeluarkan bagi memastikan pemain itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha yang sebelum ini memaksanya berehat panjang.

Beliau juga meluahkan kekecewaan terhadap keputusan pengadil, Sam Barrott, yang melayangkan kad kuning kepada Moises Caicedo pada minit keempat, menyebabkan pemain tengah Ecuador itu digantung perlawanan ketika Chelsea bertandang ke laman Manchester City, Ahad ini.

Sementara itu, pengurus Bournemouth, Andoni Iraola, menyifatkan dirinya bangga dengan semangat pasukan selepas dibelasah 1-4 oleh Brentford sebelum ini.

Malah Iraola turut menepis spekulasi bahawa pemain sayap Antoine Semenyo akan meninggalkan pasukan selepas aksi dengan Chelsea itu.

Media Britain melaporkan Semenyo, yang sudah menjaringkan sembilan gol liga musim ini, hampir menyertai Manchester City.

“Ini bukan perlawanan terakhirnya bersama kami. Saya tidak boleh menjamin 100 peratus, tetapi saya fikir dia akan beraksi menentang Arsenal hujung minggu ini,” kata Iraola.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top