East Rutherford, Amerika Syarikat: Carlo Ancelotti menegaskan kekalahan Brazil pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia di tangan Norway perlu dijadikan pemangkin untuk bangkit semula sambil menyifatkan kempen kali ini sebagai permulaan kepada kitaran baharu pasukan.
“Sudah tentu setiap orang amat kecewa dengan apa yang berlaku. Saya tidak fikir kami mengharungi Piala Dunia yang luar biasa, tetapi kami mengharungi kejohanan yang baik.
“Saya juga fikir kami sepatutnya memenangi perlawanan hari ini,” kata Ancelotti selepas kekalahan 1-2 di Stadium MetLife, New Jersey.
Erling Haaland menjaringkan dua gol lewat permainan buat Norway pada perlawanan yang turut menyaksikan sepakan penalti awal Bruno Guimaraes berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.
Gol penalti Neymar pada masa kecederaan hanya menjadi saguhati buat juara dunia lima kali itu.
“Anda perlu menerima kekalahan seperti ini. Ini adalah satu perjalanan baharu buat kami.
“Kini kami perlu terus membuktikan kemampuan dan berusaha memperbaiki pasukan,” kata Ancelotti yang dilantik lebih setahun lalu dengan misi menghadiahkan gelaran Piala Dunia keenam buat Brazil.
Jurulatih dari Itali itu mempunyai kontrak sehingga Piala Dunia 2030 dan segera menolak sebarang kemungkinan untuk melepaskan jawatannya.
“Saya tidak fikir ini adalah penghujung. Saya fikir ini adalah permulaan kepada kitaran baharu,” tegasnya.
“Saya percaya dengan skuad yang ada, Brazil mampu pergi lebih jauh dalam Piala Dunia ini walaupun mengambil kira apa yang berlaku hari ini.
“Brazil kini terpaksa menunggu lebih suku abad untuk menjulang trofi Piala Dunia sekali lagi selepas kali terakhir melakukannya di Jepun pada 2002.Penyingkiran pada pusingan 16 terakhir ini juga merupakan pencapaian terburuk Brazil pada Piala Dunia sejak 1990 apabila mereka turut disingkirkan pada peringkat sama oleh Argentina.
“Apa yang boleh saya katakan, apa yang akan kami lakukan dan apa yang memang akan kami lakukan ialah terus bekerja keras untuk pasukan kebangsaan, terus berusaha memperbaiki diri dan mencari idea baharu.
“Saya fikir kami sudah melakukan tugas dengan baik, tetapi inilah bola sepak dan inilah sukan.
“Anda perlu menerima kesedihan dan kekecewaan akibat kekalahan ini.
“Saya sudah biasa dengan situasi seperti ini dan kami akan menanganinya. Kami akan menjadikannya sebagai bahan bakar untuk bergerak ke hadapan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




