East Rutherford, New Jersey: Neymar memberi bayangan dia mungkin mengharungi perlawanan terakhir bersama Brazil selepas menjaringkan gol ketika tewas 1-2 kepada Norway pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia, pagi tadi.
Penyerang berusia 34 tahun itu menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan, namun jaringan tersebut gagal mengelakkan Brazil daripada tersingkir, sekali gus meneruskan penantian juara dunia lima kali itu untuk merangkul gelaran keenam.
Bercakap ringkas kepada penganalisis saluran televisyen Brazil, ge tv, Bruno Formiga, selepas perlawanan, Neymar memberi bayangan bahawa perjalanan kariernya bersama skuad Selecao sudah berakhir.
“Saya sudah mencuba, saya sudah mencuba. Kini semuanya sudah berakhir. Saya bermula di sini, dan saya juga mengakhirinya di sini,” kata Neymar, merujuk kepada stadium di New Jersey, lokasi beliau membuat penampilan sulung bersama Brazil dalam aksi persahabatan menentang Amerika Syarikat pada 2010.
Neymar dilihat tidak dapat menahan sebak selepas tamat perlawanan yang menyaksikan Brazil mencatat prestasi terburuk di Piala Dunia sejak 1990.
Kegagalan itu turut menyebabkan Brazil kini berdepan tempoh kemarau kejuaraan dunia paling panjang sejak kali pertama menjulang trofi berkenaan. Menjelang Piala Dunia 2030, Selecao akan genap 28 tahun tanpa meraih gelaran dunia.
Sekiranya Neymar mengesahkan persaraan di pentas antarabangsa, dia akan menamatkan karier bersama Brazil dengan rekod 80 gol dan 58 bantuan jaringan dalam 130 penampilan.
Walaupun memenangi pelbagai kejuaraan di peringkat kelab, satu-satunya trofi utama Neymar bersama skuad senior Brazil ialah Piala Konfederasi FIFA 2013.
© New Straits Times Press (M) Bhd




