Selat Hormuz dibuka, tetapi impak belum reda

Selat Hormuz dibuka, tetapi impak belum reda

PUTRAJAYA – Apa yang berlaku lebih 7,000 kilometer (km) dari Malaysia mungkin kelihatan jauh daripada kehidupan seharian rakyat.

Namun, ketegangan yang memuncak di Asia Barat, tempias akhirnya boleh dirasai di stesen minyak, pasar raya, farmasi malah di meja makan rakyat apabila harga barangan meningkat dan kos sara hidup terus menerima tekanan.

Sebab itulah, apabila kapal dagang dan kapal tangki mula kembali melalui Selat Hormuz susulan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS), Iran dan Israel yang reda buat sementara waktu, ramai menarik nafas lega.

Pasaran tenaga dunia turut menunjukkan reaksi positif apabila kebimbangan terhadap gangguan bekalan minyak mula berkurangan, sekali gus memberi sedikit kelegaan kepada ekonomi global yang sebelum ini dihimpit pelbagai ketidaktentuan.

Persoalan yang lebih besar adalah sama ada pembukaan semula laluan strategik itu benar-benar menandakan dunia sudah keluar daripada krisis bekalan global dan jawapannya, belum.

Hakikatnya, Selat Hormuz bukan punca kepada krisis yang sedang melanda dunia. Penutupan laluan itu hanyalah satu daripada banyak titik kritikal dalam rantaian bekalan global yang rapuh akibat konflik geopolitik, perubahan iklim, ketegangan perdagangan serta kelembapan ekonomi dunia.

Sebagai laluan bagi hampir satu perlima perdagangan minyak dunia, sebarang gangguan di Selat Hormuz memberi impak besar kepada pasaran tenaga antarabangsa.

Namun, pembukaan semula laluan tersebut hanya mengurangkan sebahagian risiko, bukannya menghapuskan ancaman yang masih membelenggu ekonomi global.

Ahli Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan berpandangan, tanggapan bahawa ketegangan di Asia Barat sudah reda hanya kerana Selat Hormuz kembali dibuka adalah terlalu awal.

Menurutnya, rundingan antara pihak yang bertelagah masih berlangsung dan belum ada sebarang jaminan bahawa penyelesaian menyeluruh dapat dicapai dalam masa terdekat.

“Walaupun pihak perantara memberikan pandangan positif, semuanya bergantung kepada keputusan kedua-dua negara bertelagah,” katanya.

Azmi berkata, petunjuk paling jelas bahawa krisis masih belum berakhir dapat dilihat pada keadaan di Selat Hormuz sendiri apabila trafik kapal tangki masih belum pulih seperti sebelum konflik tercetus.

Walaupun terdapat peningkatan jumlah kapal yang melalui laluan itu katanya, pertambahan berlaku secara perlahan sebelum kembali mendatar, sekali gus mencerminkan syarikat perkapalan antarabangsa masih berhati-hati terhadap risiko keselamatan.

Dalam dunia yang saling bergantung antara satu sama lain, pemulihan keyakinan lazimnya mengambil masa lebih lama berbanding pemulihan keadaan di lapangan.

Beliau turut berpandangan konflik antara AS, Iran dan Israel masih menjadi faktor penentu kepada kestabilan Asia Barat.

Selagi hubungan antara pihak terbabit kekal rapuh, risiko terhadap keselamatan laluan perdagangan strategik dunia akan terus menghantui pasaran tenaga dan rantaian bekalan global.

Lebih membimbangkan, penganalisis itu menyifatkan peperangan sebagai ancaman terbesar kepada ekonomi dunia berbanding faktor-faktor lain kerana kesannya tidak terhad kepada bekalan minyak semata-mata.

Sebaliknya, gangguan terhadap sektor tenaga berpotensi mencetuskan kesan domino kepada keseluruhan rantaian bekalan, daripada sektor pengangkutan dan pembuatan sehinggalah kepada bekalan makanan.

Dalam pada itu Azmi berkata, Malaysia masih mampu mengekalkan kestabilan bekalan hasil perancangan strategik kerajaan untuk mempelbagaikan sumber tenaga serta memperkukuh hubungan ekonomi dengan negara-negara pengeluar minyak.

Selagi konflik di Asia Barat belum diselesaikan secara menyeluruh dan ketidaktentuan ekonomi global terus berlarutan, risiko terhadap bekalan tenaga serta perdagangan antarabangsa boleh kembali memuncak pada bila-bila masa.

Sehubungan itu, antara pengajaran terbesar daripada krisis yang sedang berlaku ialah negara tidak lagi boleh bergantung kepada satu sumber tenaga atau satu pasaran eksport semata-mata.

“Malaysia perlu perkukuh hubungan strategik dengan lebih banyak negara, pelbagaikan sumber bekalan tenaga serta buka pasaran baharu bagi kurangkan kebergantungan terhadap rakan dagang tradisional,” katanya.

Risiko sebenar

Jika Azmi menjelaskan mengapa konflik di Asia Barat masih menjadi ancaman kestabilan geopolitik dunia, Pengerusi Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), Tan Sri Mohd Hassan Marican pula melihat bagaimana risiko itu diterjemahkan kepada ekonomi sebenar.

Menurut Mohd Hassan, kesilapan terbesar adalah menganggap krisis hanya berlaku apabila harga minyak meningkat.

Hakikatnya, gangguan terhadap sektor tenaga memberi kesan yang jauh lebih meluas kerana hampir setiap aktiviti ekonomi bergantung kepada bekalan tenaga dan rangkaian logistik antarabangsa.

Dalam konteks Malaysia, Mohd Hassan berkata, kestabilan dinikmati ketika ini bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil intervensi awal kerajaan, pemantauan berterusan dan langkah proaktif bagi memastikan bekalan kritikal negara terjamin.

Pendekatan itu katanya, membolehkan Malaysia mengurangkan impak kejutan luar walaupun sebagai sebuah ekonomi terbuka, negara tidak dapat mengasingkan diri sepenuhnya daripada ketidaktentuan pasaran global.

Mohd Hassan menegaskan, usaha membina daya tahan negara tidak boleh dipikul kerajaan sahaja kerana ia memerlukan kerjasama menyeluruh melibatkan kerajaan, swasta, industri, komuniti dan rakyat.

Scroll to Top