syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi dan bekas pembaca berita, Zehra Zamri mendedahkan dia kini giat mencari peluang pekerjaan tetap dalam bidang penyiaran atau komunikasi demi kelangsungan hidupnya dan anak.
Zehra, 39, berkata tindakannya membuat hantaran mencari kerja di aplikasi Threads, baru-baru ini adalah salah satu ikhtiar selepas tawaran nyanyian semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, pada masa sama hantaran itu adalah salah satu ikhtiar untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
“Selepas tamat program Gegar Vaganza 11 (GV11) sebelum ini, tawaran memang banyak termasuk konsert dan undangan di Brunei, namun apabila musim baru bermula, momentum itu dilihat sedikit berkurang.
“Saya faham ramai menyarankan saya tampil dengan karya baharu, tetapi saya mempunyai kekangan kewangan yang besar.
“Bajet saya banyak lari untuk menguruskan kos guaman yang sangat tinggi bagi mengendalikan kes mahkamah syariah dan sivil selepas berhadapan isu perceraian,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut penyanyi lagu Malam Yang Ganjil itu, dia tidak boleh hanya bergantung kepada kerjaya seni semata-mata kerana perlu melunaskan pelbagai komitmen termasuk hutang rumah dan bil, selain menjaga anak sepenuhnya.
“Anak kini di bawah jagaan saya sepenuhnya. Bapanya sudah tujuh bulan tidak menjenguk, saya pernah meminta wang untuk keperluan anak seperti lampin pakai buang dan susu menerusi mesej, namun tidak dilayan.
“Sebab itu saya rasa sukar sementara menunggu perintah nafkah mahkamah keluar yang dijadualkan bermula di Majlis Sulh, di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 8 Januari ini,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan dia memilih kerja, Zehra menjelaskan dia hanya mahu mencari pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan akademik dan pengalamannya selama sembilan tahun dalam bidang penyiaran.
“Bukan memilih kerja, tetapi biarlah seiring dengan pengalaman saya. Saya juga mempunyai ijazah sarjana (Master) dan ada peminat menyarankan saya menjadi ahli akademik. Saya sedang mempertimbangkan semua peluang itu,” katanya.
Dalam pada itu, Zehra turut mengakui kerjayanya terkesan akibat fitnah dan salah faham pihak tertentu mengenai kes dakwaan memukul suami sebelum ini.
“Hakikatnya saya sudah ‘bersih’ daripada sebarang dakwaan. Pihak peguam akan mengeluarkan kenyataan rasmi kerana kami sudah mendapat maklum balas daripada Timbalan Pendakwa Raya bahawa tiada sebarang pendakwaan akan dibuat.
“Penat saya mahu menjawab tuduhan netizen yang melabel saya isteri derhaka atau kaki pukul. Orang lebih nampak perkara negatif sehingga lupa bakat dan keupayaan kita,” katanya.
Meskipun sedang mencari kerja tetap, Zehra tetap menyimpan impian untuk kembali aktif menyanyi dan menyasarkan untuk memiliki lagu baru pada tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




