Sao Paulo: Selepas 22 tahun menanti, peminat MotoGP Brazil bakal menyaksikan aksi deruman enjin di Autodromo Antarabangsa Ayrton Senna, Goiania, apabila Grand Prix Brazil kembali pada musim 2026.
Perjanjian lima tahun yang ditandatangani sehingga 2030 menandakan kepulangan rasmi Brazil ke kalendar MotoGP selepas lama tidak diadakan sejak perlumbaan terakhir di Rio de Janeiro pada 2004. Kepulangan ini dijangka menghidupkan semula semangat peminat tempatan yang sentiasa setia menyokong aksi motosikal dunia.
Kerjasama antara Dorna Sports, kerajaan negeri Goias dan Brasil Motorsport iaitu penganjur sama seperti Formula 1 Grand Prix Sao Paulo sekali gus menjanjikan kelancaran penganjuran dari segi keselamatan, infrastruktur trek dan keselesaan penonton. Gabenor Ronaldo Caiado turut berjanji menyediakan fasiliti bertaraf dunia untuk pelumba dan pasukan.
Sejarah trek Goiania tidak asing bagi peminat MotoGP. Nama trek itu diabadikan sempena lagenda Formula 1 Brazil, Ayrton Senna, dan pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Brazil dari 1987 hingga 1989 sebelum berpindah ke Interlagos dan kemudian Rio de Janeiro.
Perlumbaan terakhir pada 4 Julai 2004 di Rio meninggalkan kenangan dramatik apabila Valentino Rossi dan Sete Gibernau terjatuh, membolehkan Makoto Tamada meraih kemenangan pertama dalam kelas perdana, sekaligus menjadi kemenangan terakhir pelumba Jepun dalam sejarah premier class.
Walaupun tiada perlumbaan selama 22 tahun, Brazil terus menghasilkan pelumba berbakat termasuk Alex Barros dan Diogo Moreira. Moreira, yang kini menyertai kelas MotoGP bersama LCR Honda pada 2026, dijangka menjadi tumpuan utama Grand Prix Brazil.
Grand Prix Brazil 2026 dijadual berlangsung dari 20 hingga 22 Mac sebagai pusingan kedua musim, selepas perlumbaan pembukaan di Thailand. Kalendar ini turut mengekalkan kehadiran Amerika Selatan sebelum siri berpindah ke Texas untuk Grand Prix of The Americas, menggantikan perlumbaan di Argentina.
Pihak penganjur menjangkakan acara ini membawa impak ekonomi dan pelancongan besar kepada Goiania. Trek Antarabangsa Autodromo Ayrton Senna akan dinaik taraf mengikut standard FIM Grad satu untuk memenuhi piawaian keselamatan terkini dan menarik penonton dari seluruh dunia.
Musim 2026 turut menjadi detik bersejarah kerana menandakan tahun terakhir era 1000cc sebelum peralihan kepada motosikal 850cc pada 2027. Ini memberi peluang kepada pasukan dan pelumba bersaing pada kelajuan maksimum dengan jentera semasa, menambah keterujaan peminat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




