austin@nst.com.my
Kuala Lumpur: Pihak sekolah diingatkan supaya tidak menyembunyikan sebarang insiden semata-mata mahu menjaga reputasi institusi masing-masing, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail.
Beliau berkata, kerjasama erat antara polis dan pihak sekolah adalah sangat penting bagi memastikan setiap kejadian membabitkan pelajar dapat segera dibawa ke perhatian pihak berkuasa.
“Kadang-kala mungkin terdapat tindakan oleh pihak tertentu untuk menyembunyikan isu bagi melindungi reputasi pihak tertentu.
“Tetapi saya percaya jika kita memperkukuh dan meningkatkan hubungan ini ia dapat membantu kita menyelesaikan masalah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tahap keselamatan sekolah susulan kes pembunuhan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Yong Peng, Johor, kelmarin.
Mohd Khalid berkata, pegawai perhubungan sekolah (PPS) polis sentiasa kerap melawat sekolah dan mengekalkan hubungan dengan pentadbiran sekolah, namun keselamatan pelajar memerlukan gandingan tenaga antara pihak polis, Kementerian Pendidikan, pihak sekolah serta ibu bapa.
Katanya, kejadian di Yong Peng itu berlaku pada Sabtu ketika kelas biasa tidak diadakan walaupun difahamkan terdapat kelas tambahan pada hari terbabit.
“Polis masih menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca pergaduhan dan adalah terlalu awal untuk menentukan perkara sebenar yang berlaku.
“Seorang suspek remaja lelaki berusia 16 tahun sudah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata, pemasangan lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah mampu membantu siasatan polis meskipun langkah sedemikian bergantung kepada kos serta memerlukan pembabitan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak berkepentingan lain.
Katanya, anggota polis juga sudah diarahkan untuk melaksanakan rondaan di sekolah serta memasuki kawasan asrama sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dengan institusi pendidikan.
“Pihak polis tidak melihat sebarang peningkatan ketara bagi kes seumpama itu walaupun ia kelihatan lebih ketara di platform media sosial kerana tular secara meluas.
“Sehubungan itu, saya menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih sementara siasatan sedang dijalankan.
“Polis memerlukan masa untuk mengumpul bahan bukti termasuk rakaman CCTV dan keterangan saksi, selain memberi amaran spekulasi berterusan hanya akan membebankan serta memberi tekanan emosi kepada keluarga mangsa,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan punca kematian pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, disahkan akibat kecederaan trauma tumpul pada bahagian kepala (blunt force trauma to the head).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar mengesahkan perkara itu susulan bedah siasat yang dijalankan oleh pakar patologi forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Mangsa sebelum ini ditemui meninggal dunia di dalam dewan sekolah oleh neneknya yang hadir ke sekolah selepas menyedari cucunya itu tidak pulang ke rumah kira-kira jam 5.30 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd




