'Bunyi rempuhan lori sangat kuat.. ingatkan gempa bumi'

'Bunyi rempuhan lori sangat kuat.. ingatkan gempa bumi'

am@hmetro.com.my

Sik: Tiga beranak terselamat selepas rumah dihuni mereka dirempuh lori muatan dedak makanan haiwan yang hilang kawalan di Kampung Betong, Jeneri di sini, hari ini.

Nor Amirah Mohd Latif, 38, berkata, ketika kejadian pada 12.45 tengah hari itu, dia berada tengah rumah dan sedang menghidangkan makanan untuk makan bersama anak, Afiyah Haura, 5, dan suami, Herman Abd Samad, 43.

“Selepas menghidang makanan di atas meja, tiba-tiba anak hendak muntah dan kami keluar ke pintu dapur. Suami ketika itu di hadapan rumah. Tidak lama selepas itu terdengar bunyi dentuman.

“Bunyinya sangat kuat, ingatkan gempa bumi. Saya kemudian nampak sebuah lori merempuh masuk rumah hingga ke dapur, berhampiran meja makan yang sudah siap terhidang nasi serta lauk tengah hari, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, rempuhan kuat lori itu menyebabkan dinding dapur rumahnya rosak dan menghempap meja makan yang hanya beberapa meter jaraknya dari kedudukan dia dan anaknya.

Sementara itu, peniaga gerai makanan, Suzila Othman, 50, berkata, ketika kejadian dia sedang membuka gerainya untuk jualan dan nampak lori itu sedang menghala ke arah Kampung Kubang Lintah.

Katanya, pada jarak kira-kira 200 meter, lori itu didapati mengundur dengan lajunya dan seperti hilang kawalan sebelum menghentam rumah penduduk yang terletak di seberang jalan, berhadapan dengan gerainya.

“Nasib baik ketika kejadian tiada kenderaan lain di belakang lori itu. Jika tidak, mungkin boleh berlaku kemalangan yang mengorbankan nyawa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada 2.17 petang dan sepasukan tujuh anggota ke lokasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Azizi Othman.

Katanya, ketika pasukan tiba, pemandu lori dipercayai sudah dibawa orang awam ke klinik berhampiran susulan kecederaan dialami.

“Tindakan yang dilakukan anggota bomba adalah dengan memotong kabel bateri selain memastikan tiada mangsa serta sebarang bahaya di tempat kejadian.

“Tiga mangsa dalam rumah itu selamat dan rempuhan menyebabkan dinding di bahagian dapur runtuh, ” katanya yang memaklumkan operasi turut dibantu polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang bertindak memotong bekalan elektrik disebabkan terkena tiang elektrik di situ.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top