Dadah: Dua rakan dipenjara 8 tahun 6 bulan dam 10 sebatan

Dadah: Dua rakan dipenjara 8 tahun 6 bulan dam 10 sebatan

am@hmetro.com.my

Melaka: Dua rakan masing-masing dihukum penjara lapan tahun enam bulan dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan memiliki 482 gram dadah jenis methamphetamine, enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Isa Aziz Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap P Thinesh dan R Dhivagharen, kedua-duanya berusia 29 tahun, selepas menimbang rayuan mereka, fakta kes serta hujahan pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh secara bersama memiliki dadah itu di tepi Jalan TAKH 1, Taman Ayer Keroh Heights, pada 12.15 tengah malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azfar Mahmod memaklumkan hari ini ditetapkan untuk perbicaraan, namun representasi tertuduh diterima dan ditawarkan pertuduhan pilihan berbanding pertuduhan asal mengedar dadah.

Beliau memohon hukuman pemenjaraan yang panjang terhadap kedua-dua tertuduh mengambil kira kepentingan awam dalam membanteras penyalahgunaan dadah.

Peguam Datuk Naran Singh mewakili Thinesh, manakala S Daniel, S Chelvarajan and C Mohanarajan mewakili Dhivagharen.

Pihak pembelaan memaklumkan menghantar dua representasi kepada Peguam Negara dan kali terakhir pada 30 September lalu namun gagal, sebelum ditawarkan pertuduhan pilihan hari ini dan anak guam mereka mengaku salah.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkapan pada 19 November 2020 dan kedua-duanya akan dibebaskan selepas selesai menjalani hukuman sebatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top