SPRM sahkan pegawai kanan TDM suspek utama kes rasuah perolehan tentera, kenal pasti individu lain disyaki terbabit sama

SPRM sahkan pegawai kanan TDM suspek utama kes rasuah perolehan tentera, kenal pasti individu lain disyaki terbabit sama

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti beberapa individu yang disyaki terbabit kes rasuah membabitkan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

SPRM dalam satu hantaran di TikTok berkata, individu terbabit disyaki mempunyai kaitan dengan kes berkenaan selain seorang pegawai kanan TDM yang juga suspek utama.

“Selain suspek utama, SPRM mengenal pasti beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini, dan tindakan lanjut akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan bukti yang diperoleh.

“Dalam pada itu, SPRM mengesahkan bahawa tindakan pengesanan dan sekatan aset sedang dijalankan.

“Namun, jumlah nilai aset atau akaun bank tidak didedahkan kepada media buat masa ini memandangkan proses siasatan masih berjalan dan tidak semua aset dibekukan sepenuhnya,” menurut hantaran itu hari ini.

Dalam hantaran sama SPRM berkata, pihaknya belum merakam sepenuhnya keterangan suspek utama yang juga pegawai kanan TDM terbabit atas faktor kesihatan.

Katanya, SPRM menghormati aspek kesihatan serta hak individu terbabit selaras dengan prinsip undang-undang dan akan mengambil keterangan sebaik sahaja beliau disahkan sihat oleh pihak perubatan.

“SPRM turut memaklumkan bahawa tiada tempoh masa tetap ditetapkan bagi setiap fasa siasatan, tempoh siasatan bergantung kepada kerumitan kes, jumlah saksi, serta keperluan analisis dokumen dan kewangan.

“Siasatan ini dijalankan secara telus, profesional dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan.

“SPRM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk rasuah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top