Takraw Piala TYT Pulau Pinang bakal saji saingan sengit

Takraw Piala TYT Pulau Pinang bakal saji saingan sengit

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persaingan sengit dijangka mewarnai edisi sulung Kejohanan Sepak Takraw Jemputan Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang menghimpunkan 10 pasukan terbaik apabila dibarisi majoriti pemain kebangsaan, termasuk tonggak yang membantu Malaysia memenangi dua pingat emas di Sukan Sea Thailand tahun lepas.

Pengerusi Pertandingan, Mohd Shaherman Shafie berkata, pemilihan pasukan dibuat berdasarkan ranking terakhir Liga Sepak Takraw (STL) Premier yang dikeluarkan oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), sekali gus menjamin aksi sengit sepanjang kejohanan.

Katanya, tapisan itu perlu dilakukan demi memastikan pasukan bertanding dapat memberikan persembahan terbaik sekali gus dapat menarik kehadiran penonton.

“Untuk penganjuran kali pertama ini, hanya acara regu dipertandingkan dan kita ambil pasukan yang pernah beraksi di STL. Sepuluh pasukan terbaik dipilih berdasarkan ranking terakhir dan kebanyakan pemain adalah pemain kebangsaan yang baru saja mencipta kejayaan di Sukan Sea,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, untuk memastikan pertandingan berlangsung dengan lebih berdaya saing, pihak penganjur membenarkan satu pasukan menggunakan dua pemain import di dalam gelanggang berbanding hanya satu di STL.

Selain itu, beliau turut memaklumkan pasukan bergelar juara akan membawa pulang RM20,000, naib johan (RM10,000), tempat ketiga (RM5,000) dan keempat (RM2,500).

Kejohanan akan bermula pada 6 hingga 11 Januari dan berlangsung di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top