Istanbul: Penubuhan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) meletakkan Malaysia dalam kelompok kecil negara yang diberikan kepercayaan oleh Turkiye untuk menjalin kerjasama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan dua hala Malaysia – Turkiye mencatat pencapaian penting dengan penubuhan HLSCC, sekali gus mengangkat kerjasama ke tahap tertinggi dalam sejarah diplomatik kedua-dua negara.
Beliau berkata, majlis kerjasama itu adalah mekanisme eksklusif yang hanya diwujudkan bersama rakan diplomatik paling rapat dan dipercayai Turkiye.
“Ini sesuatu permulaan yang menarik kerana tidak banyak negara yang kita adakan hubungan dua hala pada peringkat itu, kerana dalam ‘high level’ ini, majlis ini, ia mesti dipengerusikan bersama oleh Presiden (Erdogan) dan saya,” katanya dalam sidang media pada hari terakhir lawatan rasmi ke Turkiye bermula 6 Januari lalu.
Anwar turut menyifatkan penubuhan HLSCC sebagai satu langkah besar yang bakal membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik penting Turkiye.
“Tentunya keputusan kita ini akan dilaksanakan oleh menteri-menteri yang akan bertanggungjawab melaksanakan, keputusan-keputusan penting yang strategik,” katanya.
Anwar berkata, HLSCC memberi tumpuan kepada peluasan kerjasama strategik merentas pelbagai sektor bernilai tinggi, termasuk pendidikan tinggi, penyelidikan serta teknologi baharu.
“Hubungan di antara dua negara akan tertumpu dalam pelaburan, perdagangan dan hubungan strategik dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan tinggi, penyelidikan dan juga beberapa disiplin dan teknologi baru, termasuk penerbangan, kecerdasan buatan (AI), tenaga dan nadir bumi.
Mengulas keseluruhan lawatan rasmi itu, Anwar berkata layanan yang diterima Malaysia adalah luar biasa, merangkumi aspek protokol, penganugerahan negara serta sambutan rakyat Turkiye.
“Tidak semua negara diberikan layanan seperti ini dan ia jelas mencerminkan kedudukan Malaysia di mata Turkiye,” katanya.
Menurut Anwar, penghormatan sedemikian jarang diberikan, khususnya kepada negara yang sedang membangun.
Anwar mengakhiri lawatan rasmi ke Turkiye yang bermula 6 hingga 8 Januari atas jemputan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
Anwar diiringi isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta Menteri Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
© New Straits Times Press (M) Bhd




